July 19, 2024

PDRM FC akui Kuching City semakin agresif – Maniam

PDRM FC akui Kuching City semakin agresif – Maniam


KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih PDRM FC, P. Maniam sedar kekuatan yang ada pada pasukan Kuching City FC ketika ini sambil menjangkakan pertembungan sukar untuk mereka meraih tiga mata dalam aksi Liga Super, pada Jumaat ini.

Kali terakhir PDRM menghadapi perlawanan adalah pada 23 Jun lalu yang menyaksikan mereka tewas kepada Kelantan Darul Naim FC dan kini kembali untuk bangkit dalam pertarungan seterusnya berdepan anak buah Aidil Sharin Sahak pada Jumaat.

Dia mengakui lawannya itu semakin agresif terutamanya selepas perlawanan yang cukup getir antara Kuching City dan Selangor FC dalam aksi suku akhir kedua Piala FA tempoh hari dan membuktikan kemampuan pasukan itu untuk mencipta kejutan.

Justeru, Maniam mahu barisan pemain lebih berwaspada dan tidak lagi melakukan kesilapan mudah dalam misi meraih kemenangan berharga di Stadium Negeri, Kuching nanti.

“Beliau (Aidil Sharin) adalah jurulatih yang begitu berpengalaman dan mereka mempunyai pemain-pemain yang bagus baik import atau tempatan.

“Sebagai contoh, pemain seperti Shamie Iszuan dan Filemon Anyie antara pemain yang berkualiti yang saya lihat sekarang.

“Jadi, pesanan saya kepada pemain-pemain bahawa kita tidak boleh lagi mudah melakukan kesilapan dan kalau ada peluang, kena jaringkan gol dan cari peluang sebaik mungkin”, jelasnya.

Lebih kurang dua minggu tiada perlawanan bagi memberi laluan kepada pentas Piala FA, Maniam ada melakukan beberapa perubahan dalam membentuk skuad terbaik bagi menghadapi perlawanan akan datang ini.

Hanya memenangi satu perlawanan sahaja dalam empat aksi liga setakat ini, beliau enggan lagi kekalahan kembali berulang untuk memastikan kedudukan di Liga Super bertambah baik apabila kini berada di tangga keenam.

“Kita ada melakukan beberapa perlawanan persahabatan antara pasukan kita sendiri untuk perbetulkan balik silap ketika menentang Kelantan tempoh hari.

“Sudah tentu ada sedikit perubahan yang saya lakukan untuk perkuatkan lagi skuad ini dan kalau kita tengok selepas empat perlawanan, memang banyak yang kita perlu baiki untuk berada di kedudukan lebih baik dalam liga”, tambahnya.

Perlawanan Liga Super kembali bersambung pada Jumaat ini menyaksikan satu lagi perlawanan adalah antara Kedah Darul Aman FC dan Kelantan Darul Naim FC. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top