Pearly-Thinaah mara ke pusingan ketiga, Jun Hao dan Letshanaa tersingkir


BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan langkah ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2026 di New Delhi, India selepas menundukkan pasangan Turkiye Bengisu Ercetin-Nazlican Inci pada Rabu.

Pada aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Indira Gandhi, pasangan pilihan kelima kejohanan itu yang mendapat bye pada pusingan pertama hanya memerlukan 34 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-13.

Pearly-Thinaah dijadual menentang sama ada pasangan Turkiye Yasemen Bektas-Sinem Yildiz atau gandingan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari pada pusingan ketiga.

Thinaah berkata peluang menjalani latihan bersama secara lebih konsisten sejak dua minggu lepas membantu mereka memperkemas pergerakan, komunikasi serta persefahaman di dalam gelanggang.

“Dalam dua minggu ini, kami akhirnya dapat berlatih bersama lebih banyak, jadi saya fikir itu satu petanda yang sangat positif.

“Dari segi pergerakan, komunikasi dan kepercayaan yang kami bina, semuanya berada pada landasan positif. Masih ada beberapa salah faham tetapi kami sedang berusaha memperbaikinya,” kata Thinaah menerusi audio dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao gagal meneruskan kemaraan apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan kelapan dari China Li Shi Feng dengan kekalahan straight set 19-21, 19-21 pada pusingan kedua.

Nasib sama menimpa K. Letshanaa dalam acara perseorangan wanita apabila tewas kepada pilihan ketiga dari China Wang Zhi Yi 16-21, 9-21.

Terdahulu, pasangan suami isteri Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terbaik selepas menyingkirkan pasangan Amerika Syarikat Chen Zhi Yi-Francesca Corbett 21-15, 21-16.

Pilihan ke-10 kejohanan itu akan berdepan pilihan kelapan dari China Cheng Xing-Zhang Chi pada pusingan ketiga. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top