mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Juara Terbuka Hong Kong Pearly Tan-M Thinaah terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir Terbuka Artik, sebentar tadi.
Diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, beregu wanita negara itu tidak berhadapan masalah menundukkan wakil dari Taiwan Chang Ching Hui-Yang Ching Tun straight set 21-8,21-18 dalam tempoh 32 minit.
Penguasaan jelas dipamerkan beregu negara yang berada di ranking ketujuh dunia apabila mudah memenangi set pertama 21-8.
Namun, pada set kedua pula Pearly-Thinaah diberikan tentangan sengit wakil dari Taiwan itu apabila masing-masing saling mengejar mata.
Pengalaman yang dimiliki Pearly-Thinaah ternyata membantu mereka untuk meraih kemenangan sebelum mengesahkan slot separuh akhir dengan kemenangan 21-18 pada set kedua.
Sebelum itu, beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing di suku akhir.
Nur Izzuddin-Sze Fei menewaskan lawan berpengalaman dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 23-21, 19-21, 22-20 dalam tempoh satu jam 13 minit.
Soon Huat-Shevon pula menewaskan gandingan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dengan keputusan straight set 21-19, 21-15 dalam tempoh 40 minit untuk mengatur pertemuan dengan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd