Pearly-Thinaah tetap membanggakan, muncul naib juara dunia

Pearly-Thinaah tetap membanggakan, muncul naib juara dunia


Thinaah (kanan) dan Pearly ketika perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025. Foto AFP

HASRAT untuk menyaksikan satu lagi kejuaraan dunia menjadi milik Malaysia tidak kesampaian selepas beregu wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah tewas di pentas final Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, sebentar tadi.

Pasangan pilihan kedua kejohanan itu terpaksa akur tunduk kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu–Tan Ning dalam pertarungan tiga set di Adidas Arena.

Biarpun gagal menjulang kejuaraan, persembahan Pearly–Thinaah tetap wajar dipuji kerana memberikan tentangan sengit berdepan lawan dari China yang sememangnya sukar ditundukkan.

Malah, pencapaian selaku naib juara turut melakar sejarah tersendiri buat badminton negara apabila Pearly–Thinaah muncul beregu wanita pertama Malaysia mara ke final Kejohanan Dunia, sekali gus membawa pulang pingat perak.

Dalam aksi tersebut, Sheng Shu–Tan Ning tampil cukup kemas di set pertama dengan corak permainan tersusun dan hampir tiada kesilapan untuk memastikan kemenangan 21-14.

Namun, Pearly–Thinaah tidak mudah menyerah kalah. Mereka bangkit memperkemaskan strategi sebelum memaksa lawan ke set penentuan selepas mengesahkan kemenangan tipis 22-20 di set kedua.

Bagaimanapun, set ketiga menyaksikan kebangkitan semula pasangan nombor satu dunia itu untuk menoktahkan perlawanan dengan keputusan 21-17.



Source link

OR

Scroll to Top