suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 209 individu berputih mata apabila mendakwa ditipu seorang lelaki tempatan yang menawarkan program pelaburan forex dan mata wang kripto tidak berlesen, mengakibatkan kerugian keseluruhan melebihi RM83 juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya menerima aduan daripada semua mangsa yang mendakwa menjadi mangsa pemerdayaan oleh individu terbabit.
“Sebelum ini, MHO telah menerima aduan daripada individu yang menyatakan bahawa diri mereka ini merupakan mangsa penipuan dan pemerdayaan yang disyaki dilakukan oleh seorang individu warganegara Malaysia.
“Program pelaburan yang ditawarkan oleh individu ini dikenali sebagai program pelaburan Forex dan mata wang kripto,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di ruang legar Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, hari ini.
Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan ialah menawarkan pelaburan forex melalui syarikat berdaftar di luar negara dan kemudiannya menukar wang pelabur kepada mata wang kripto tanpa kebenaran.
“Pada peringkat awal, pelabur dijanjikan pulangan lumayan dan diminta mendepositkan wang ke akaun tempatan yang dinamakan Local Depositor (LD), namun selepas itu mereka tidak lagi boleh membuat pengeluaran apabila wang mereka ditukar kepada kripto tanpa keizinan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, sebahagian mangsa memaklumkan laporan polis yang dibuat sebelum ini telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, pihak polis memaklumkan bahawa kes berkenaan boleh disiasat oleh BNM di bawah akta yang dikawal oleh pihak berkenaan.
“Pihak PDRM telah memaklumkan bahawa permasalahan atau kes yang diadukan boleh disiasat oleh BNM di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013,” katanya.
Katanya, tujuan mangsa hadir ke BNM hari ini adalah untuk membuat aduan rasmi agar siasatan menyeluruh dijalankan terhadap program pelaburan yang disyaki tidak sah dan tidak berdaftar itu.
“Aduan ini diserahkan bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap sebarang aktiviti pengumpulan dana awam, pelaburan atau perkhidmatan kewangan yang mungkin melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, khususnya Seksyen 10 dan Seksyen 137.
“Mangsa berharap BNM memberi perhatian serius dan menyiasat kes ini dengan teliti. Mereka percaya tindakan tegas bukan saja membantu mendapatkan keadilan, malah menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak menjalankan aktiviti pelaburan tanpa kebenaran,” katanya.
Dalam pada itu, Hishamuddin turut menegaskan komitmen pihaknya untuk terus membantu mangsa penipuan kewangan mendapatkan keadilan melalui saluran undang-undang yang betul.
Beliau menyeru semua pihak supaya lebih berhati-hati dan membuat semakan dengan agensi pengawalselia seperti BNM dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum menyertai sebarang skim pelaburan.
“MHO percaya bahawa kerjasama erat antara pihak berkuasa dan masyarakat adalah kunci untuk membanteras kegiatan pelaburan haram di Malaysia.
“Kami menyeru semua pihak supaya lebih peka, berhati-hati dan sentiasa membuat semakan dengan agensi pengawalselia sebelum menyertai sebarang program pelaburan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd