Pelajar Tingkatan 3 maut tercampak dalam longkang

Pelajar Tingkatan 3 maut tercampak dalam longkang


am@hmetro.com.my

Kulim: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun maut akibat tercampak ke dalam longkang selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang membelok secara tiba-tiba di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Padang Serai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, remaja terbabit yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, Balai Polis Trafik Kulim menerima makluman daripada orang awam pada jam 11.30 pagi mengenai kejadian itu.

“Penunggang motosikal Yamaha 135 LC disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika remaja lelaki terbabit menaiki motosikal dari rumahnya di Taman Mahsuri menghala ke kedai berdekatan melalui jalan lurus di taman perumahan berhadapan stesen minyak berkenaan.

“Ketika itu datang sebuah kereta Proton Saga FL yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dari Jalan Padang Serai – Tasek Gelugor membelok ke kiri untuk masuk ke stesen minyak secara tiba-tiba tanpa memberi laluan kepada motosikal yang ditunggangi remaja itu,” katanya.

Zulkifli berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal itu tercampak ke dalam longkang di hadapan stesen minyak dan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala selepas topi keledarnya tercabut.

Beliau berkata, pemandu kereta Proton Saga FL itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top