Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak di bawah bidang kuasa negeri – Mohd Na’im

Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak di bawah bidang kuasa negeri – Mohd Na’im


KUALA LUMPUR – Hukuman sebat bagi pesalah syariah di khalayak ramai adalah di bawah bidang kuasa negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebelum hukuman seperti itu dilaksanakan, kajian menyeluruh melibatkan pelbagai agensi perlu dilakukan.

Katanya ia perlu mengambil kira semua aspek berkaitan termasuk definisi khalayak dan falsafah hukuman yang bertujuan mengimbangi antara tujuan mendidik dan menjaga maruah pesalah yang menjalani hukuman.

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, agama Islam berada di bawah bidang kuasa negeri termasuklah urusan perundangan dan kehakiman, itu mutlak kuasa Sultan dan negeri.

“Dalam konteks Enakmen jenayah syariah di Terengganu memang diperuntukkan kesalahan-kesalahan syariah ini antara hukumannya yang kita sedia maklum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan iaitu maksimum bagi mahkamah negeri,” katanya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di khalayak sebagai usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah Islam di negeri itu.

Mohd Na’im berkata, di peringkat Persekutuan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kaedah sebatan. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top