Pelan tindakan wanita dalam sukan tingkat pembabitan golongan hawa

Pelan tindakan wanita dalam sukan tingkat pembabitan golongan hawa


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengorak langkah memastikan pembangunan sukan yang lebih inklusif dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2021-2025.

Pelan yang dilancarkan pada 9 Oktober 2021 itu adalah hala tuju dan aspirasi KBS dalam meningkatkan penglibatan dan penyertaan wanita dalam sukan ke arah pembangunan sukan yang lebih inklusif dan seimbang.

Usaha memperkasa wanita dalam sukan seiring dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang menyasarkan mencapai agenda kesaksamaan gender menjelang tahun 2030.

Sukan juga disenaraikan sebagai salah satu medium utama dalam membangun serta memperkasa peranan wanita.

Dengan mengambil kira situasi semasa dalam elemen kepimpinan, kejurulatihan, kepegawaian dan teknikal serta keaktifan golongan wanita mengikut Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM), KBS akan memastikan pembangunan sukan lebih inklusif di bawah pelan berkenaan.

Terdapat lima teras utama dan lapan objektif di dalam Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2021-2025 yang selari dengan hasrat mewujudkan ekosistem sukan yang kondusif, selamat dan menyokong sepenuhnya penyertaan wanita.

Teras 1 adalah Dasar dan Perundangan – Objektifnya adalah menambahbaik dasar dan sokongan perundangan dengan antara inisiatif, pewujudan Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan, penyediaan garis panduan perlembagaan mesra wanita serta pelaksanaan seminar wanita dalam sukan.

Teras 2 adalah Pembangunan dan Infrastruktur Inisiatif untuk meningkatkan bilangan atlet, jurulatih, pegawai teknikal dan pentadbir sukan wanita serta menambahbaik fasiliti bagi menggalakkan penglibatan wanita dalam sukan.

Teras 3 adalah Penyertaan dan Penglibatan meningkatkan penyertaan dan penglibatan wanita dalam sukan serta mencungkil bakat baharu.

Sementara, Teras 4 Penyelidikan dan Pembangunan meningkatkan sumber rujukan berkaitan wanita dalam sukan serta mengintegrasikan teknologi dan inovasi berkaitan wanita dalam Sukan.

Akhir sekali Teras 5 iaitu Promosi dan Advokasi berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai wanita dalam sukan. Antara inisiatif di bawah teras ini adalah untuk mempromosi dan menguar-uarkan pencapaian wanita di pelbagai platform media.

Pada tahun 2020, skor wanita adalah 52.8 peratus manakala sasaran pada 2025 adalah untuk mencapai skor 60.

Walau bagaimanapun, skor ini telah diselaraskan semula pada tahun 2021 ke 55. Data 2023 yang diperolehi adalah skor tersebut hanya berada di tahap 46.1 yang dikategorikan sebagai rendah. Data bagi 2024 sedang dikemaskini.

Sasaran berikutnya, memperkasakan wanita dalam kepimpinan badan sukan melalui peningkatan peratusan penyandang jawatan tertinggi badan sukan dengan sasaran sebanyak 30 peratus. Walau bagaimanapun, berdasarkan statistik bagi tahun 2024, peratusan wanita di barisan EXCO badan sukan kebangsaan masih rendah iaitu sebanyak 12 peratus.

Sasaran terakhir adalah meningkatkan penyertaan wanita dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan melalui peningkatan peratusan bilangan wanita menjadi jurulatih dan pegawai teknikal ke 30 peratus menjelang tahun 2025. Berdasarkan statistik bagi tahun 2024, penyertaan wanita sebagai jurulatih di bawah Majlis Sukan Negara telah mencapai 20 peratus manakala bagi pegawai teknikal sasaran 30 peratus telahpun dicapai.

Ini menunjukkan hala tuju pembangunan sukan di Malaysia memerlukan perubahan yang lebih seimbang dalam memastikan persekitarannya bebas daripada sebarang diskriminasi ke atas jantina.

Lebih penting, peranan, bakat dan potensi wanita perlu dimanfaatkan kerana mereka boleh dan berupaya turut menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top