am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelayaran fasa akhir misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membabitkan 54 kapal bermula secara rasmi dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye, kira-kira jam 7.30 malam tadi waktu Malaysia.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, misi pada hari ke-32 ini membawa simbolik besar kerana ia bermula sehari sebelum ulang tahun ke-78 Peristiwa Nakba yang berlaku pada 15 Mei 1948.
Berdasarkan analisis risiko terkini, SNCC mengemas kini status keselamatan perairan operasi kepada tahap yang lebih tegang.
Laluan pelayaran kini dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu Zon Hijau dari Marmaris sehingga 30 batu nautika selain Zon Kuning, antara 30 hingga 150 batu nautika dan Zon Merah yang bermula dari 150 batu nautika sehingga memasuki perairan Gaza, yang diklasifikasikan sebagai tahap risiko paling kritikal.
Pelayaran fasa akhir ini disifatkan sebagai permulaan kepada gelombang kedua advokasi antarabangsa untuk memecah kepungan di Gaza.
SNCC dijadual akan mengumumkan satu pelan tindakan strategik berskala besar pada hari ini yang membabitkan mobilisasi rakyat, tekanan diplomatik, serta tindakan perundangan global bagi menuntut keadilan buat Palestin.
Misi yang digerakkan oleh aktivis kemanusiaan sedunia ini membabitkan hampir 500 peserta daripada 45 negara, dengan sokongan padu kerajaan Malaysia, Turkiye, Sepanyol, dan Brazil.
Daripada jumlah itu, seramai 29 peserta adalah rakyat Malaysia yang terdiri daripada tenaga profesional dalam pelbagai bidang termasuk 11 pegawai perubatan, tujuh kru dokumentari, 10 kru dan pembantu kapal.
Selain itu tujuh kapten, penganjur dan juruteknik turut mewakili Malaysia dalam misi kali ini.
SNCC turut mengesahkan penyertaan lima kapal daripada Freedom Flotilla Coalition (FFC) dalam misi kali ini.
Dalam pada itu, tiga peserta Malaysia iaitu Muhammad Aqill Asmadi, Mohd Zurimi Karim, dan Serieffa Mushtafa Albakry diarahkan pulang ke tanah air bagi memperkukuhkan strategi operasi lapangan SNCC.
Rakyat Malaysia diseru untuk terus memberikan sokongan melalui solat hajat dan Qunut Nazilah, selain memastikan hanya menyebarkan maklumat daripada sumber yang sahih melalui portal rasmi tanya.sumudnusantara.com.
© New Straits Times Press (M) Bhd





