Peluang sembuh bergantung punca

Peluang sembuh bergantung  punca


syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peratusan untuk pesakit koma sembuh atau sebaliknya bergantung kepada punca yang menyebabkan individu terbabit koma dan jangka masa ia berlaku.

Ada pesakit yang hanya mengambil masa beberapa hari hingga berminggu-minggu untuk kembali sedar.

Namun, ada juga kes koma yang panjang tempohnya sehingga berbulan atau bertahun, namun ia jarang berlaku.

Pakar Perunding Neurologi Hospital Columbia Asia Klang Dr Hasnur Zaman Hashim berkata, pesakit koma boleh pulih atau tidak sedarkan diri separa sedar (keadaan vegetatif).

“Dalam kes yang sebaliknya iaitu brain death atau mati otak, keadaan pesakit koma boleh menjadi semakin teruk dan tidak akan pulih, dalam kata lain pesakit sudah mati.

“Sebab itu, ada protokol atau aturan yang sangat ketat untuk menentukan seseorang itu sudah mati otak. Harapan untuk pesakit koma pulih atau sebaliknya bergantung kepada sebab koma itu sendiri, dan jangka masa berlakunya keadaan koma itu.

“Jika koma yang disebabkan kecederaan otak yang parah dan berlanjutan dalam tempoh panjang, contohnya bertahun, harapan untuk pulih adalah sangat tipis,” katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Dr Hasnur, teknologi moden seperti elektroensefalogram (EEG), imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan Pengimejan Resonans Magnet (MRI) dapat membantu mengesan punca koma serta meramalkan sama ada pesakit berpotensi pulih, berada dalam keadaan vegetatif atau mengalami mati otak.

“Koma itu adalah keadaan seseorang yang tidak dapat sedarkan diri dan memberi respon walaupun sudah dipanggil, dikejutkan atau diberi stimulasi sakit untuk cuba membangunkan atau menyedarkan pesakit.

“Ia berpunca daripada kegagalan sistem otak di bawah berinteraksi dengan persekitaran. Sebab terjadinya koma adalah seperti jangkitan kuman, kandungan gula yang sangat rendah dalam badan, otak, trauma, angin ahmar dan banyak lagi.

“Koma juga meletakkan pesakit dalam keadaan tidak sedar langsung, tidak boleh beri respon walaupun membuka mata dan diberi stimulasi sakit,” ujarnya.

Mengulas berkenaan keadaan vegatatif pula, Dr Hasnur berkata, situasi itu membolehkan pesakit mempunyai sedikit respon dalam bentuk membuka mata, bunyi suara dan ada kalanya boleh membuat pergerakan apabila dirangsang dengan rangsangan sakit.

Namun, jelas Dr Hasnur lagi, bagi kes mati otak, tiada lagi aktiviti otak, termasuk dalam mengawal pernafasan dan degupan jantung.

“Dalam kata lain, pesakit tidak mungkin akan beransur pulih sama sekali. Untuk makluman, ketika punca koma masih dalam rawatan, contohnya koma disebabkan angin ahmar, rawatan di hospital amat penting.

“Bergantung kepada punca koma, jika doktor merasakan pesakit akan pulih dalam masa terdekat dengan rawatan, pesakit perlu dirawat di hospital.

“Tetapi jika pesakit dalam keadaan vegatatif atau memerlukan masa yang lama untuk pulih, mungkin doktor akan menasihati keluarga berkenaan penjagaan di rumah atau di pusat rehabilitasi,” katanya.

Ditanya berkaitan peluang pesakit koma kembali sedar, Dr Hasnur mendedahkan, belum ada kes koma bertahun yang pulih sepenuhnya kerana selepas tempoh tertentu, pesakit biasanya akan memasuki keadaan vegatatif, iaitu hanya fungsi asas tubuh yang masih berjalan tanpa kesedaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top