BAITULMAQDIS – Beberapa peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan pejuang Hezbollah mengenai sasaran berhampiran Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv, semalam.
Menurut kenyataan gerakan itu, pihaknya menyasarkan pangkalan tentera Tserfin di selatan Tel Aviv yang meliputi kolej latihan tentera berhampiran Lapangan Terbang Ben Gurion dengan pelancaran serentak peluru berpandu.
Seorang jurucakap pihak berkuasa lapangan terbang berkata, Lapangan Terbang Ben Gurion beroperasi semula selepas pendaratan dan pelepasan, membabitkan kelewatan penerbangan Israel ke Paris, dihentikan sementara waktu.
Gambar-gambar di laman media sosial memaparkan kepulan asap berhampiran lapangan terbang tersebut.
Sebuah peluru berpandu mengenai sebuah kenderaan di bandar Ra’anana manakala sebuah peluru berpandu menyebabkan lubang besar tidak jauh dari Lapangan Terbang Ben Gurion
Menurut laporan Hebrew, sebuah pesawat Boeing, B777 mengalami kerosakan akibat terkena serpihan daripada pintasan peluru berpandu berdekatan lapangan terbang tersebut.
Kira-kira 10 buah peluru berpandu dilancarkan dari Lubnan. Tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut kenyataan tentera Israel, ‘kebanyakan daripadanya (peluru berpandu) dipintas’ tetapi ‘sebuah peluru berpandu dikesan di tengah-tengah negara itu’.
Serangan tersebut dilakukan 40 hari selepas Israel membunuh pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah.
Selain itu, kumpulan Hizbullah turut melancarkan serangan peluru berpandu yang menyasarkan lokasi tentera di sempadan dan penempatan, termasuk Sasa, Kiryat Shmona, and Metula.
“Pada jam 10.45 pagi Rabu pejuang ini menyasarkan sebuah rumah yang menempatkan sekumpulan tentera Israel berkubu di penempatan Metula dengan peluru berpandu dan mengenainya secara terus, membunuh dan mencederakan mereka yang berada dalamnya,” menurut media tentera Hizbullah.
Kelmarin pejuang Hezbollah menyasarkan beberapa pangkalan tentera dan penempatan di bandar Galilee dan kumpulan itu menyiarkan beberapa gambar serangan roket di Nahariya. – Agensi
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL