July 27, 2024

Pemain Liga Australia sengaja raih kad kuning untuk tujuan perjudian

Pemain Liga Australia sengaja raih kad kuning untuk tujuan perjudian


Sydney: Tiga pemain dalam Liga Australia ditahan dan didakwa semalam selepas disyaki terbabit dengan skandal rasuah bola sepak.

Ketiga-tiga pemain dituduh mengambil bayaran rasuah yang dikaitkan dengan seorang ketua kumpulan jenayah terancang.

Polis, berkata seorang pemain senior mengatur agar rakan sepasukan mengutip kad kuning untuk tujuan perjudian semasa perlawanan pada hujung 2023 sebagai balasan untuk bayaran sehingga AU$6,000 (RM18,709).

Penonton di Australia dan luar negara boleh bertaruh pada pasaran seperti bilangan kad kuning yang diberikan semasa perlawanan.

Media Australia mendakwa pemain senior itu adalah kapten Macarthur FC, Ulises Davila, seorang penyerang berusia 33 tahun dari Mexico.

Kelab yang berpangkalan di Sydney itu berkata mereka terkejut dengan dakwaan berkenaan.

Penolong Pesuruhjaya Polis New South Wales, Michael Fitzgerald, berkata pemain senior itu bertindak di bawah arahan seorang ketua jenayah terancang yang kini berada di Amerika Selatan.

“Kami akan mendakwa bahawa pemain-pemain berkenaan sengaja menerima kad kuning bagi tujuan bayaran rasuah,” kata Fitzgerald kepada pemberita.

Dua lagi pemain yang didakwa dinamakan secara meluas oleh media Australia sebagai Clayton Lewis dan Kearyn Baccus dari Macarthur.

Macarthur menduduki tempat tercorot dalam kalangan 12 pasukan Liga Australia pada musim 2022-23.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top