Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh memaklumkan bahawa pemandu Perodua Aruz yang tular beberapa minggu lalu dipercayai bergaduh dengan seorang pemandu Ferrari bersetuju menerima khidmat guaman dari Pemuda UMNO.
Syukur berjaya temui pemandu Aruz tular
Menerusi hantaran di media sosial, Akmal meluahkan rasa syukur apabila berjaya menemui dan menghubungi pemandu Aruz terbabit dan bercakap langsung mengenai tawaran tersebut.
Difahamkan, pemandu berkenaan yang merupakan seorang anggota tentera menyatakan pihak pemandu Ferrari sebelum ini ada menawarkan kes diselesaikan dengan dua syarat, namun ia dilihat agak keterlaluan.
“Dia (pemandu Ferrari) nak bawa kes ni ke mahkamah. Tetapi semasa malam selepas kejadian sewaktu membuat laporan di balai polis, jika mahu selesai secara baik, lelaki terbabit memberikan dua syarat .
“Syarat pertama dia meminta saya untuk memohon maaf secara terbuka, dia akan memanggil pihak media dan mengaku salah,
“Yang kedua saya kena membayar RM10,000 untuk kos rawatan,” jelasnya.
Susulan itu, Akmal menyatakan Pemuda UMNO bersedia untuk menawarkan khidmat guaman kepada pemandu Aruz berkenaan dan jika dia setuju semua perkara yang ada hubung kait dengan kejadian tersebut boleh diserahkan kepada peguam.
Jelasnya, keadilan seharusnya ditegakkan dan kedua-dua pihak berhak untuk menjelaskan daripada sudut pandang masing-masing susulan kejadian yang tular itu.

Dakwa diminta RM10,000 kos rawatan
Tegas ADUN Merlimau itu lagi, ketika ini pemandu Aruz berkenaan tidak keseorangan kerana beliau ada bersama bagi menuntut keadilan.
“Kita akan bersama untuk kes ini. Kalau dia mahu membawa kes ini ke mahkamah, tak apa. Bring it did!
“Kalau kata dia nak selesai dan tiada sebarang permohonan maaf, itu terserah kepada awak,” katanya lagi.
Terdahulu, Akmal memuat naik satu hantaran di Facebook mencari pemandu Perodua Aruz yang tular di media sosial susulan pergaduhan di Kilometer 276 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke Seremban minggu lalu.
Hal ini susulan sidang media dilakukan pemandu Ferrari, Tiang How Soon, 40, yang berlangsung di di Pusat Biro Aduan Awam DAPSY Selangor memaklumkan dia tidak berniat untuk mencetuskan kekecohan malah insiden itu berlaku tanpa sebarang pelanggaran antara kedua-dua kenderaan dan sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik tanpa membabitkan keganasan fizikal.
Sumber: Facebook Akmal Saleh
