Pemergian Syed Muhammad Naquib Al-Attas kehilangan besar buat dunia keilmuan Islam

Pemergian Syed Muhammad Naquib Al-Attas kehilangan besar buat dunia keilmuan Islam


Kuala Lumpur: Pemergian tokoh pemikir peradaban Islam Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas petang tadi disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia keilmuan Islam serta bidang pemikiran di negara ini.

Allahyarham yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang falsafah, teologi dan tamadun Islam menerima gelaran Profesor Diraja Pendidikan Islam pada 23 Oktober 2024 sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan besarnya kepada pembangunan ilmu serta pendidikan Islam.

Dilahirkan pada 5 September 1931 di Bogor, Indonesia, Allahyarham berkahwin dengan Latifah Abdullah dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Sharifah Faizah Al-Attas, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, Sharifah Shifa Al-Attas dan Syed Haidar Al-Attas.

Allahyarham merupakan pengasas serta pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dan pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat Terhormat di Pusat Kajian Lanjutan Mengenai Islam, Sains dan Tamadun (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2012.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Rejimen Askar Melayu sebagai pegawai kadet sebelum dilantik sebagai Ketua Bahagian Sastera, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) pada 1965.

Antara 1968 hingga 1970, Allahyarham dilantik sebagai Dekan Fakulti Seni UM selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Bahasa Melayu dan Sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau kemudian dilantik sebagai Dekan Fakulti Seni UKM sebelum mengasaskan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) UKM pada 1973.

Allahyarham turut pernah memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Penasihat bagi beberapa institusi akademik antarabangsa termasuk Siri Terjemahan Islam Al-Hikma di Institut Pengajian Kebudayaan Global, Binghamton University, Universiti Brigham Young serta Akademi Diraja bagi Penyelidikan Tamadun Islam, Ensiklopedia Tamadun Arab Islam, Amman, Jordan.

Beliau juga pernah mempengerusikan beberapa mesyuarat penting termasuk Panel Mengenai Islam di Asia Tenggara pada Kongres Antarabangsa des Orientalistes ke-29 di Paris selain terlibat dalam mesyuarat UNESCO di Aleppo, Syria.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Iqbal Centenary Commemorative Medal daripada Presiden Pakistan General Muhammad Zia Ul-Haq, Tokoh Melayu Terbilang 2011 sempena ulang tahun ke-65 UMNO serta Anugerah Merdeka 2012 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik.

Pemergian Allahyarham dirasai oleh seluruh negara apabila beberapa pengguna media sosial serta agensi kerajaan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Aktivis Dakwah Syed Abdul Kadir Aljoofre menerusi hantaran di Facebook menzahirkan dukacita atas pemergian Allahyarham serta mendoakan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa serta menerima segala amalan dan jasa baktinya buat ummah.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Syed Muhammad Naquib atas pemergian Allahyarham.

Menurut jabatan itu, Allahyarham ialah tokoh pemikir peradaban Islam terkemuka pada era moden yang menguasai pelbagai bidang ilmu termasuk teologi, falsafah, sejarah dan kesusasteraan.

“Antara sumbangan Allahyarham adalah penubuhan ISTAC. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” menurut kenyataan itu melalui Facebook.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top