Pemilihan PKR: Ay Ling optimis tewaskan Noor Amin di Kangar

Pemilihan PKR: Ay Ling optimis tewaskan Noor Amin di Kangar


KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang sekali lagi bakal bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Kangar optimis mampu menewaskan penyandang, Noor Amin Ahmad dalam pemilihan parti itu Mei depan.

Pertembungan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri dan timbalannya bagi jawatan itu dijangka menarik perhatian sama ada Ay Ling mampu membuat kejutan kali ini atau Noor Amin bakal meneruskan penguasaan di situ.

Ay Ling yang merupakan satu-satunya wakil rakyat PKR dari negeri ini berkata, beliau dan pasukannya akan bersaing secara adil pada pemilihan kali ini bagi membolehkan mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat.

“Kita optimis dan akan mencuba yang terbaik kerana matlamat utama kami adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik pada rakyat sekiranya terpilih,” katanya.

Dalam pemilihan PKR lalu, Noor Amin berjaya menewaskan Ay Ling dalam pertembungan tiga penjuru selepas memperolehi 631 undi. Ay Ling dalam pemilihan tersebut mendapat 211 undi manakala seorang lagi calon pada masa itu, Amar Amran menerima 167 undian.

Katanya, beliau juga tidak mengetahui tahap sokongan yang bakal diraih pada pemilihan kali ini dan hanya menyerahkan kepada ahli-ahli parti membuat penilaian.

Ujarnya, sistem pengundian secara dalam talian yang dilaksanakan oleh parti juga memudahkan ramai pihak dan merupakan satu pendekatan yang sangat baik.

“Ini berbeza dengan kaedah fizikal dulu di mana ahli-ahli mengundi telah diherat ke sana dan ke sini sehingga membuatkan mereka serba salah,” katanya.

Kata Ay Ling, pihaknya juga telah membuat persediaan bagi menghadapi pemilihan itu selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang berkehendakkan penglibatan lebih ramai wanita bersama lain-lain etnik dalam politik.

“Pasukan kami telah ambil inisiatif untuk sahut seruan itu dengan menarik penglibatan lebih ramai calon dari kelompok terlibat,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top