July 27, 2024

Pemuda MCA PJ mahu parti bertanding pada PRK Kuala Kubu Bharu


KUALA LUMPUR – Pemuda MCA mahu parti itu bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu.

Ketua Pemuda MCA Petaling Jaya, Andy Teoh Tuck Wah berkata, kerusi itu pernah menjadi kubu kuat MCA dari tahun 1974 sehingga 2013.

Penyertaan MCA dalam PRK itu memberi peluang alternatif kepada pengundi di kawasan berkenaan.

“Sebagai sebahagian daripada parti dalam Barisan Nasional, MCA mewakili kesederhanaan dan keterangkuman, yang penting di tengah-tengah kegagalan pentadbiran semasa.

“Contohnya, ketidakupayaan Kerajaan Madani untuk melaksanakan reformasi politik dan merangsang pertumbuhan ekonomi telah menyebabkan ramai yang kecewa.

“Dengan bertanding dalam PRK ini, MCA boleh menawarkan alternatif yang boleh dipercayai kepada kedua-dua pihak konservatif Perikatan Nasional (PN) dan gabungan Parti Tindakan Demokratik (DAP)/Pakatan Harapan (PH), memberi tumpuan kepada penyelesaian pragmatik dan tadbir urus yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bahkan, PRK itu memberikan peluang unik kepada MCA untuk menunjukkan responsifnya terhadap keperluan rakyat dan menuntut semula kedudukannya sebagai jaguh kebajikan rakyat Malaysia di masyarakat Cina.

Katanya, MCA telah tidak menyertai pada enam pilihan raya negeri sebelum ini atas pelbagai sebab.

“Tetapi PRK ini menawarkan satu peluang untuk MCA menuntut semula kubu tradisionalnya dengan menyediakan alternatif yang boleh dipercayai yang memperjuangkan kesederhanaan, keterangkuman dan tadbir urus yang berkesan. Kalau bukan sekarang, bila lagi?,” ujarnya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu akan diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac 2024.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 4 April ini. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top