July 27, 2024

Azmin ketuai PN di PRK Kuala Kubu Bharu


KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) akan datang.

Menurut Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau, ia keputusan dibuat pucuk pimpinan PN.

Selain itu, semua komponen PN iaitu BERSATU, Pas dan Gerakan diarah untuk melaksanakan kajian tentang sentimen terkini di kawasan sekitar KKB dan mendapatkan maklum balas dari penduduk setempat.

“Kami yakin kami mempunyai kelebihan pada PRK kali ini kerana pengalaman bertanding dalam pilihan raya negeri yang lepas dan calon kami juga dikenali penduduk setempat.

“Selepas pengumuman dan mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 April ini, kami akan mengatur langkah untuk memenangi PRK akan datang.

“Kali ini, Gerakan akan menghantar wakil yang berpotensi besar untuk menerima undian rakyat sekaligus menguasai PRK di kawasan itu,” katanya ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Menara PGRM Kuala Lumpur hari ini.

Dominic menambah, calon yang akan dihantar ke PRK KKB tidak terhad kepada partinya sahaja.

“Calon yang dihantar tidak semestinya dari Gerakan tetapi juga boleh dari Pas dan BERSATU. Kami percaya, parti Gerakan mempunyai peluang besar untuk menang dalam PRK kali ini jika kami dapat memperoleh kepercayaan Orang Asli dan India di situ.

“Calon yang dipilih oleh PN akan menerima sepenuhnya sokongan ketiga-tiga komponen parti ini,” katanya lagi.

PRK KKB itu diadakan susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mendiang Lee Kee Hiong akibat kanser pada 21 Mac lepas. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top