am@hmetro.com.my
Muar: Bekas pekerja kedai cat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah hotel, minggu lalu.
Tertuduh Muhammad Shahrun Nizam, 19, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Sungai Abong, di sini, pada 5.30 pagi, 23 Mei lalu.
Dia dakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu pihak pendakwaan memberitahu mahkamah untuk tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius.
“Bagaimanapun, terpulang kepada mahkamah menggunakan budi bicara sekiranya membenarkan tertuduh diikat jamin.
“Jika mahkamah membenarkan, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM30,000 bagi setiap pertuduhan,” hujahnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 2 Julai ini untuk laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain fakta dan juga hukuman.
© New Straits Times Press (M) Bhd