Pemuda, Wanita UMNO tak berebut jadi calon PRK DUN Mahkota

Pemuda, Wanita UMNO tak berebut jadi calon PRK DUN Mahkota


JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan berlaku perebutan antara pemuda dan wanita untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurutnya, calon akan ditentukan beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan perkara tersebut akan dimuktamadkan sebelum 14 September ini.

“Kami baru sahaja selesai adakan mesyuarat khas antara saya dan ahli-ahli Badan Perhubungan UMNO Johor. Kita mahu sebelum 14 September, sebelum hari penamaan calon, kerja-kerja harus dimulakan.

“Malam ini saya akan bertemu dengan parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk melakukan penyelarasan.

“Soal calon belum dimuktamadkan kerana ada beberapa proses yang akan kita teliti kerana ia perlukan calon-colon yang ada ciri ‘wali’ (boleh menang, diterima dan disukai),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRK DUN Mahkota di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sebelum ini Wanita UMNO menuntut supaya calon mewakili BN pada PRK DUN Mahkota kuotanya kekal daripada pergerakan tersebut.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kerusi itu penting bagi wanita meneruskan legasi penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga Exco Wanita UMNO menang dengan majoriti lebih 5,000 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Noraini berkata, keupayaan wanita terbukti apabila menang di ketiga-tiga DUN yang diwakili calon pergerakan itu pada PRN berkenaan, termasuk di DUN Pulai Sebatang dan Tenang.

Dalam pada itu, susulan kejayaan besar pada PRK DUN Nenggiri di Kelantan, Pemuda UMNO menyarankan supaya sekali lagi diberi kepercayaan untuk bertanding kali ini di kerusi DUN Mahkota.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kejayaan di DUN Nenggiri baru-baru ini wajar dijadikan sandaran apabila parti mencalonkan wakil sayap tersebut iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ciri ‘wali’ tersebut penting bagi membolehkan calon UMNO diterima pengundi yang jumlahnya tiga kali ganda daripada pengundi di DUN Nenggiri.

Katanya, pendekatan harus berbeza contohnya terdapat 34 peratus pengundi Cina berbanding hanya 19 pengundi Cina di DUN Nenggiri.

“Jadi saya berpesan kepada perhubungan negeri di mana ketua-ketua bahagian akan diletakkan di 18 PDM (pusat daerah mengundi) di DUN Mahkota. Beberapa kaedah yang agak berbeza atau sama, namun kita harus santuni pengundi kerana banyak isu akan dibawa oleh pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tahu ada beberapa permintaan penduduk tempatan untuk projek-projek pembangunan.

“Perkara-perkara itu, kita tidak mahu dituduh hanya ketika PRK sahaja permintaan-permintaan itu dipenuhi. Saya berpesan kepada mereka bahawa soal ‘timing’ ini penting, bagi memastikan kemenangan di DUN Mahkota sekurang-kurangnya mempertahan majoriti dimenangi arwah Sharifah Azizah,” katanya.

Mengenai pertemuan BN dengan komponen Pakatan Harapan (PH) malam ini, beliau berkata, perbicangan tersebut adalah untuk penyelarasan semasa berkempen.- MalaysiaGazette

Habis



Source link

OR

Scroll to Top