PUTRAJAYA: UMNO menyifatkan keputusan Pas menamatkan kerjasama dengan Bersatu sebagai pengajaran bahawa sesebuah gabungan politik tidak mampu bertahan tanpa keikhlasan dan bebas daripada unsur pengkhianatan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah menjangka lebih awal leputusan dibuat Pas itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan terbaharu itu membuktikan bahawa sesebuah kolaborasi politik perlu dibina atas asas keikhlasan dan matlamat jangka panjang.
“Sebarang kerjasama politik tidak boleh hanya bersandarkan kepentingan politik semata-mata, sebaliknya perlu menjurus kepada pembangunan negara, penyatuan rakyat dan kestabilan yang berkekalan.
“Kami telah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kita bukan mendahului hukum Allah SWT tetapi ini merupakan satu telahan dari sudut pandang politik di mana sebarang kolaborasi mesti dilingkungi dengan penuh keikhlasan dan tidak ada unsur-unsur pengkhianatan di dalamnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) 2026 di sini hari ini.
Ahmad Zahidi berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan Pas yang mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu, malam tadi.
Katanya, perkembangan itu seharusnya menjadi pengajaran kepada mana-mana gabungan politik bahawa sesuatu kerjasama tidak boleh dibentuk hanya untuk memenuhi keperluan politik jangka pendek.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama politik yang kukuh perlu dibina berasaskan matlamat jangka panjang bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan selain mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Ini merupakan satu ibrah atau pengajaran bahawa sebarang kolaborasi mesti tidak hanya dipegang dan bersandarkan kepada sudut pandang politik tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa.
“Ia mesti dibuat untuk satu jangka masa yang panjang agar matlamat negara dapat dicapai dan penyatuan anak bangsa dapat dilakukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau juga berharap sebarang langkah susulan yang diambil oleh pihak terbabit selepas ini akan berpaksikan keikhlasan dan komitmen yang berterusan.
“Saya harap jika ada pun langkah-langkah yang akan dilakukan selepas ini, ia mesti bukan hanya penandatanganan di atas kertas atau baiah yang dilakukan, tetapi yang penting ialah keikhlasan yang harus diterjemahkan untuk satu jangka panjang dan berkekalan,” katanya.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam tadi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Ketetapan itu diputuskan selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan berkata, parti memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik Pas, atas prinsip penyatuan ummah. – UTUSAN






