Penarafan profesional halal persediaan jadikan Malaysia hab halal dunia

Penarafan profesional halal persediaan jadikan Malaysia hab halal dunia


PUTRAJAYA: Latihan dan pendidikan untuk mewujudkan bakat halal tidak seharusnya terhad kepada soal pematuhan piawaian dan pengurusannya semata-mata.

Sebaliknya, ia perlu juga mengambil kira pelbagai aspek lain yang terbabit dalam industri halal, termasuk mewujudkan penarafan profesional halal sama seperti golongan profesional lain.

Penyelaras Hal Ehwal Halal, Jabatan Perdana Menteri, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff, berkata ketika ini masih belum ada satu sistem mengesahkan seseorang pakar itu sebagai profesional dalam pensijilan halal.

Katanya, bagi menyedia dan menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa, perlu ada terminologi kerjaya lebih menyeluruh dan tidak hanya membabitkan pematuhan piawaian halal semata-mata.

Beliau berkata, ketika ini, takrifan profesional halal oleh Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), hanya merangkumi pelbagai jawatan membabitkan eksekutif halal, juruaudit halal, penyembelih halal, penyelia halal dan pemeriksa halal.

“Ini berkaitan juga dengan dasar dibuat pada peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bahawa semua industri perlu ada Eksekutif Halal dan jawatankuasa halal dalaman.Ia bermula di sini dan latihan di sini.

“Tapi bila kita bercakap mengenai profesional halal, adalah penting untuk mempunyai satu takrifan khusus apa itu profesional halal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertama Simposium Bakat Halal 2025, bertajuk Membentuk Profesional Halal Masa Hadapan, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pemangku Pengerusi Halal Development Corporation Berhad (HDC), Datuk Azhari Shaari dan Pengarah Kanan, Bahagian Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus Dalam Industri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Nor Hasnah Badroddin. Hakimah berkata, ketika ini, Malaysia perlu memberi tumpuan bagaimana bakat halal boleh meneroka sehingga ke peringkat global, selain melihat kepada sistem kaedah akreditasi profesional seperti kerjaya ikhtisas lain seperti jurutera.

Beliau berkata, apabila berbicara mengenai profesional halal, ia bukan hanya mengenai pensijilan dan industri itu semata-mata, sebaliknya ia melangkaui aspek berkenaan.

Antaranya membabitkan penyelidikan, selain pematuhan halal dalam sektor halal berkaitan halal seperti farmaseutikal serta logistik yang juga memerlukan pakar dan profesional halal yang berkaliber.

Tiada sistem, struktur pengesahan

 

Hakimah menyampaikan bualbicara – Membentuk Profesional Halal Masa Hadapan pada Simposium Bakat Halal 2025, semalam.

“Sekarang ini dengan berkembangnya bidang halal ini dalam bidang farmaseutikal, logistik dan sebagainya, siapa sebenarnya di Malaysia boleh kita panggil sebagai profesional halal? 

“Tidak ada satu sistem, struktur untuk mengesahkan beliau ini adalah profesional dalam bidang halal farmaseutikal, misalnya ataupun beliau ini profesional dalam bidang logistik. 

“Mungkin ada satu dua kita iktiraf, tahu macam mungkin Almarhum Prof Emeritus Zhari Ismail dulu pernah menjadi saintis dalam bidang farmaseutikal, menjadi pakar farmaseutikal halal.

“Tetapi selepas beliau, siapa lagi? Adakah cukup satu, seorang saja kita ada? Sedangkan kita nak kata kita adalah hab kepada profesional halal dunia,” katanya.

Hakimah berkata, walaupun Malaysia mempunyai Halal Professional Board (HPB) di bawah JAKIM sejak 2014 lagi yang melantik penyedia latihan halal (PLH) untuk melaksanakan kursus Eksekutif Halal, namun pelaksanaannya secara pentadbiran sahaja, tanpa apa-apa dokumen perundangan yang menyokong kedudukan profesional halal.

Pada masa sama, beliau berkata, perlu ada satu perancangan dan hala tuju khusus untuk membawa aspirasi negara dalam pembangunan profesional halal antara JAKIM, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ini kerana, walaupun agensi-agensi berkenaan masing-masing memberi pengiktirafan untuk program halal PLH, Pusat TVET Bertauliah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA-IPTS), masing-masing mempunyai skop dan bidang mereka sendiri.

Beliau berkata, inisiatif program bakat halal juga dilaksanakan oleh HDC sebagai Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB) yang dilantik bawah JPK untuk membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bidang halal, menyediakan kerangka Halal Community of Practice (HCoP) dan juga mengadakan kajian keperluan pembangunan bakat halal.

“Jadi kita memerlukan satu kaedah yang konkrit untuk memperkukuhkan peranan yang dimainkan oleh kesemua institusi ini dengan sinergi, supaya kita boleh laksanakan dengan sebaik mungkin untuk membangunkan bakat halal,” katanya.

Sementara itu, dalam ucaptamanya, Nor Hasnah berkata, simposium anjuran HDC itu menjadi wadah penting untuk meneliti isu dan peluang baharu pembangunan bakat halal negara. 

Beliau berkata, antara fokus utama ingin dicapai ialah mengenal pasti kompetensi bakat halal masa depan diperlukan industri halal, menyusun strategi bagi mengurangkan jurang kemahiran dalam pasaran kerja dan memperkukuh kolaborasi antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.

“Selain itu, simposium ini mengetengahkan cadangan sebuah badan profesional halal berwibawa, sebagai platform pengiktirafan rasmi kepada individu berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang halal, satu langkah penting ke arah pembentukan Suruhanjaya Halal Malaysia pada masa hadapan,” katanya.


© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top