Penduduk dakwa dinding rumah retak, banjir kilat akibat kerja tambak laut

Penduduk dakwa dinding rumah retak, banjir kilat akibat kerja tambak laut


am@hmetro.com.my

Georgetown: Penduduk di Kampung Bagan Jermal, Tanjung Tokong, di sini, resah apabila surau dan rumah di perkampungan mereka kerap dilanda banjir kilat sehingga lima kali sepanjang tahun ini.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja tambakan bagi mengisi kawasan berair (‘water body’) yang terletak kurang 50 meter dari rumah penduduk.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Bagan Jermal, Mohd Yaakop Mohd Dali @Ali berkata, kerja tambakan itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan Gurney Bay oleh kerajaan negeri (Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang) yang dijalankan sejak Februari tahun lalu.

Namun, selepas kerja itu berlangsung, tiga saluran longkang yang menghala ke laut ditambak menjadi satu aliran hingga menyempitkan pengaliran air, menyebabkan air melimpah ke penempatan itu jika hujan lebat atau air pasang.

“Kemudian kami diuji pula dengan gangguan bunyi terlalu kuat dari arah projek itu terutama ketika kerja-kerja penanaman cerucuk dijalankan bermula Januari lalu.

“Kerja itu turut menyebabkan rumah bergegar dan retak pada dinding malah kami terpaksa mengeluarkan belanja sendiri bagi membaikinya. Surau yang baharu dinaik taraf beberapa tahun lalu juga turut mengalami keretakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk, Norsiah Mustafa, 69, pula berkata, sepanjang tahun ini rumah yang didiaminya sejak lebih 30 tahun lalu sudah lima kali dilanda banjir kilat separas buku lali.

Katanya, dia kerugian ribuan ringgit apabila terdapat barangan seperti perabot dan peralatan elektrik musnah ditenggelami air.

“Sudahlah lantai dan dinding rumah retak, pada April lalu, rumah saya juga dinaiki air sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu ketika hujan lebat pada awal pagi menyebabkan banyak barangan tidak sempat diselamatkan.

“Ada antara barangan yang belum sempat dicuci sampai sekarang kerana kudrat saya pun sudah tidak seberapa dan bayangkan jika ini berterusan,” katanya lagi.

Manakala penduduk, Ramlan Ishak, 61, pula berkata, beberapa aduan termasuk kepada wakil rakyat, PBT dan Ketua Menteri Pulau Pinang selain beberapa siri pertemuan sudah dilakukan namun tiada tindakan susulan.

Malah menerusi aduan itu, penduduk juga menuntut supaya pihak konsultan projek berkenaan bertanggungjawab dengan kerosakan rumah, surau dan premis.

“Paras kawasan kampung ini menjadi rendah dan sistem saliran longkang yang tidak sempurna menyebabkan air mudah bertakung atau tersekat hingga menjadi banjir kilat.

“Kami tidak bermaksud menentang pembangunan tetapi kesejahteraan penduduk juga perlu diambil kira dengan mengatasi masalah yang berlaku.

“Difahamkan, projek ini sudah hampir siap jadi kami bimbang jika semuanya selesai, penduduk akan ditinggalkan dengan pelbagai masalah,” katanya.

Tinjauan turut dilakukan di sebuah restoran makanan laut yang terletak hanya kira-kira 15 meter dari tapak kerja tambakan dan pemiliknya, Anthony Yeoh mendakwa bimbang jika sebahagian lantai premisnya akan menggelungsur dalam sungai berikutan terdapat kesan retakan.

“Beberapa kali pelanggan yang sedang makan, keluar dari restoran ini kerana tidak tahan dengar bunyi bising kerja dijalankan malah ada yang tidak mahu bayar kerana marah.

“Rak yang menempatkan akuarium ikan bagi jualan pun sudah retak dan rosak, saya bimbang jika keadaannya bertambah teruk,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top