Penduduk Pahang, Johor diminta siap siaga hadapi banjir

Penduduk Pahang, Johor diminta siap siaga hadapi banjir


SHAH ALAM: Penduduk Pahang dan Johor terutama di kawasan rendah diminta bersiap siaga sepenuhnya menghadapi banjir serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan itu berikutan aliran air dari Kelantan dan Terengganu akan pergi ke dua negeri tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu, situasi di dua negeri pantai timur yang teruk sebelum ini dilihat semakin menunjukkan pemulihan.

“Namun, aliran air di Terengganu dan Kelantan berkenaan akan membawa ke Pahang dan Johor. Justeru, saya meminta penduduk di negeri terlibat itu sudah bersiap siaga menghadapi banjir kelak,” katanya pada sidang akhbar perasmikan RissMart24 dan syiling peringatan Jubli Emas Risda, hari ini.

Jelas, Ahmad Zahid, semua penduduk di lokasi banjir diminta sentiasa mematuhi arahan dan tidak berpindah pada saat akhir.

“Kita tidak mahu mereka berpindah hanya ketika paras air sudah naik dengan mendadak. Keadaan sehingga menyebabkan kehilangan ahli keluarga dan kematian perlu dielakkan ketika musim tengkujuh ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembukaan outlet kelima RissMart24 menjadi platform terbaik untuk memasarkan produk usahawan tempatan.

“Namun, saya berharap ia turut diperluaskan bagi pasaran produk masyarakat Orang Asli, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan anak syarikat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Saya mahu RissMart ini terus berkembang bukan saja di Lembah Klang namun semua negeri lain bagi membantu usahawan termasuk pekebun kecil,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top