am@hmetro.com.my
Georgetown: Rumah perlindungan haiwan SPCA Pulau Pinang, Jelutong di sini, menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan polis mengenai dakwaan pihaknya membuang 10 kucing yang dibunuh ke dalam tong sampah.
Pentadbirnya Lily Leng berkata, pada masa ini, polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sudah ke pusat perlindungan berkenaan.
“Pihak berkenaan sudah datang ke sini dan kami serahkan sepenuhnya kepada siasatan polis serta tidak dapat mengulas lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tinjauan di pusat perlindungan itu mendapati dua kakitangan sedang bertugas dan premis terbabit dikunjungi polis dan JPV Pulau Pinang.
Terdahulu, tular gambar dan video mengenai penemuan bangkai kucing berkenaan di media sosial serta laporan polis yang dibuat pengadu yang mendakwa melihat pekerja pusat perlindungan terbabit berjalan kaki dari premis berkenaan membawa bungkusan plastik hitam pada jam 3.30 petang, Rabu lalu.
Lelaki berkenaan dikatakan membuang plastik berkenaan ke dalam tong sampah.
Pengadu yang berasa curiga lalu membuka plastik itu dan mendapati ia mengandungi kira-kira 10 ekor kucing yang disyaki dibunuh.
Pengadu mendakwa melihat pasangan suami isteri yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi membawa kucing liar disyaki dikutip daripada luar ke pusat berkenaan dipercayai bagi dilupuskan.
Laporan berkenaan dibuat pengadu kerana tidak berpuas hati dengan pembunuhan kejam itu serta memohon tindakan lanjut pihak berkuasa kerana dia mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh orang yang sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan laporan berkenaan.
“Ia disiasat oleh veterinar (JPV Pulau Pinang),” katanya ringkas.
© New Straits Times Press (M) Bhd