Cik Bunga sebenarnya malas hendak membuka cerita yang boleh mengundang pelbagai reaksi, tetapi apabila terlalu ramai yang berbisik, terlalu banyak mata yang melihat, dan terlalu kuat nada bengang di set penggambaran, mahu tidak mahu, kisah ini perlu juga disingkap.
Khabarnya, seorang penerbit filem yang namanya cukup gah, filemnya laku, anugerah pun bukan sedikit, dikatakan telah menunjukkan perangai yang biadap terhadap seorang pelatih industri yang masih mentah dan hijau.
Kejadian dikatakan berlaku di sebuah lokasi penggambaran filem popular yang sedang hangat diperkatakan. Waktu itu, seorang pelatih wanita yang baru beberapa hari menjejakkan kaki ke set dilaporkan mengalami mabuk laut ketika penggambaran dilakukan di atas bot.
Sebagai orang lama, si penerbit ini kononnya tampil dengan gaya ‘abang prihatin’. Niat asalnya mungkin mahu membantu, tetapi cara yang dipilih itu dikatakan agak keterlaluan. Ada sentuhan yang tidak perlu, ada perlakuan yang membuatkan beberapa kru mula berpandangan sesama sendiri.
Bak kata orang, kalau sekadar hulur air, atau suruh duduk, tak apa. Ini lain macam. Maaf cakap, sudah macam meraba pelatih itu.
Lebih memeranjatkan, perbuatan itu akhirnya disedari oleh kru lain yang pantas menyergah si penerbit terbabit sebelum meminta beberapa pelatih lain membawa gadis berkenaan ke tempat yang lebih selamat.
Sejak itu, suasana di set menjadi sedikit dingin. Ramai yang dikatakan bengang, malah ada yang tidak dapat menahan mulut daripada bersuara sesama sendiri.
Dengar cerita, mangsa dikatakan masih mendiamkan diri. Maklumlah, status hanya sebagai pelatih industri, takut nanti dinilai bermasalah, takut dituduh buat cerita, lebih-lebih lagi bimbang digagalkan latihan atau tidak diserap bekerja.
Cik Bunga hanya mampu mengelus dada. Dalam dunia seni yang penuh glamor ini, masih ada cerita-cerita gelap yang tidak ramai berani sentuh.
Yang lemah sering terpaksa diam, yang berkuasa pula kadang-kadang lupa batas.
Harapnya kisah ini menjadi pengajaran bahawa membantu itu satu pahala, tetapi mengambil kesempatan itu satu dosa. Ingatlah, mata ramai sedang memerhati.





