PENGENDALI skuad memanah recurve Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024, Faiz Mokhtar Lopi menyifatkan pengalaman menjadi pemisah antara anak buahnya dengan Indonesia selepas pulang dengan pingat perak selepas mara ke empat perlawanan akhir pada Sabtu.
Biarpun begitu Faiz mengakui berbangga dengan semangat juang barisan pemanahnya berdepan atlet tuan rumah yang majoriti kali pertama beraksi di pentas antarabangsa.
Faiz
“Sebenarnya kita tidak bawa atlet kebangsaan ataupun pelapis sebaliknya skuad ini dibarisi sepenuhnya penuntut universiti. Dan kita bentuk skuad terbaik untuk AUG 2024 daripada atlet Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT).
“Ini barisan atlet terbaik kita menentang pasukan Indonesia yang dibarisi antaranya dengan atlet Sukan SEA edisi lalu. Hampir 50 peratus yang layak ke final hari ini (Sabtu) beraksi kali pertama di pentas antarabangsa.
“Biarpun begitu, kita tetap memberi cabaran sengit kepada atlet tuan rumah. Pada final tadi pun, saya lihat atlet kita beraksi lebih bagus daripada ketika sesi latihan,” katanya.
Sebelum itu, pada perlawanan akhir di Stadion Cakrawala, Universitas Negeri Malang (UNM) skuad negara meraih pingat perak dalam acara recurve individu lelaki, recurve berpasukan lelaki, recurve berpasukan wanita dan recurve berpasukan campuran.
OR