Pengamal media antara 184,923 penonton terpukau aksi MotoGP di SIC

Pengamal media antara 184,923 penonton terpukau aksi MotoGP di SIC


DERUAN bunyi motosikal menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad lalu bukan saja memberi keterujaan kepada penonton tetapi memukau lebih 200 pengamal media yang menyaksikan perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia yang diadakan pada tahun ini.

Enam pengamal media dari Sabah termasuk penulis sendiri antara 184,923 penonton yang hadir melihat sukan permotoran bertaraf antarabangsa yang berlangsung selama tiga hari melibatkan pelumba dari pelbagai negara.

Walaupun terpaksa berjalan kaki sejauh hampir satu kilometer di bawah terik matahari dengan suhu 31 darjah celcius, ia tidak mematahkan semangat wartawan bukan saja dari Sabah, malah dari Sarawak, Kelantan, Melaka dan beberapa negeri lain tiba ke grandstan bagi menyaksikan perlumbaan tersebut.

Rombongan pengamal media dari Sabah bersama pengurusan tertinggi Petronas pada majlis makan malam di Putrajaya.

Sebaik tiba di grandstan, pengamal media terus ‘dihidangkan’ dengan aksi Moto3 sebelum bermulanya perlumbaan akhir MotoGP yang berlangsung sekitar jam 3 petang.

Bagi penulis yang pertama kali menyaksikan perlumbaan sukan permotoran yang berprestij itu, sudah tentu bunyi deruman motosikal dan tahap kelajuan motosikal berkuasa tinggi antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Malah aksi saling memintas antara pelumba kelahiran Itali, Francesco Bagnaia atau lebih popular dikenali sebagai ‘Pecco’ dan pesaing terdekatnya, Jorge Martin dari Sepanyol, penulis sifatkan sebagai aksi paling mendebarkan sepanjang merebut gelaran juara dalam perlumbaan MotoGP musim kali ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Kupikupifm Sabah dan Sarawak, Lester Calvin Miol, 39, menyifatkan MotoGP Petronas yang disaksikannya itu merupakan pengalaman sekali seumur hidupnya sepanjang berada dalam industri media.

“Sudah tentu suasana berada di litar Sepang ini sangat mengujakan dan peminat sukan permotoran juga kelihatan bersemangat sebaik deruman enjin mengegarkan litar.

“Malah aksi perlumbaan juga membuatkan kami sentiasa berdebar-debar terutama ketika melalui selekoh tajam di litar tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Begitu juga wartawan dari See Hua Daily News, Yvonne Ho, 34, turut berkongsi pengalamannya yang pertama kali menyaksikan perlumbaan tersebut.

“Walaupun bunyi deruman membingitkan tetapi ia memberi kesan mendebarkan sebaik saja motosikal berkuasa tinggi itu melintas sekelip mata di hadapan grandstan,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk merakam aksi pelumba MotoGP ketika berada di grandstan SIC.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk merakam aksi pelumba MotoGP ketika berada di grandstan SIC.

Sebelum meninggalkan SIC, penulis sempat berbual dengan salah seorang pengunjung dari negara Honduras yang datang ke Malaysia semata-mata untuk melihat perlumbaan tersebut.

Menurut wanita berusia 40-an itu, selain menyaksikan perlumbaan MotoGP dan pelumba kesayangannya Martin beraksi, dia juga ingin menikmati pemandangan negeri sekitar Semenanjung dengan menaiki motosikal bersama rakannya.

Mendengar perkongsiannya itu, penulis sempat mengambil peluang mempromosikan Sabah mungkin antara destinasi yang harus dilawati kerana wilayah di Borneo juga mempunyai pemandangan yang indah dan sesuai untuk dinikmati melalui aktiviti permotoran.



Source link

OR

Scroll to Top