Pengamal seni bela diri Shorinji Kempo antarabangsa ‘berkampung’ di Sabah

Pengamal seni bela diri Shorinji Kempo antarabangsa ‘berkampung’ di Sabah


LEBIH 50 pengamal Shorinji Kempo dari beberapa negara ‘berkampung’ di Sabah menerusi sesi Kajian Antarabangsa Shorinji Kempo yang diadakan selama tiga hari di Kota Kinabalu.

Shorinji Kempo merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang berasal dari negara Matahari Terbit dihidupkan semula di negeri ini selepas tidak diadakan sejak pandemik Covid-19 melanda dunia pada tahun 2020.

Menurut salah seorang peserta dari Jakarta Indonesia, Irwan Sumarin, 65, berkongsi keterujaannya hadir pada sesi itu yang diadakan di Sabah selepas tiga tahun ‘menyepi’ dari dunia bela diri tersebut.

“Inilah peluang kami bertemu bersama jurulatih dan juga pengamal seni bela diri yang sama untuk berkongsi dan mendalami ilmu mengenai Shorinji Kempo.

“Saya juga tidak sabar untuk menyertai lebih banyak acara di Malaysia selepas ini kerana ia mungkin disebabkan kedudukan geografi, ekonomi dan jaraknya yang lebih dekat berbanding Jepun,” katanya ketika menyertai sesi tersebut pada Ahad.

Bagi seorang peserta dari Penampang, Jafery Jomion, 49, seni bela diri itu banyak memberi manfaat kepadanya sejak diamalkannya 26 tahun lalu.

“Shorinji Kempo merupakan seni bela diri terbaik untuk diamalkan dan dipelajari oleh semua peringkat umur kerana ia tidak memerlukan kekuatan fizikal yang besar untuk bermula dan yang paling penting ia membina nilai moral secara menyeluruh.

“Sesi yang diadakan ini menjadikan kami lebih mengenali Shorinji Kempo memandangkan sudah agak lama tidak diadakan perjumpaan dengan pengamal yang lain,” katanya.

Sementara itu, pengasas Persatuan Shorinji Kempo Sabah, David Wang berkata, program yang berlangsung sehingga Ahad itu dihadiri oleh pengamal dan jurulatih dari Jepun, Indonesia, Singapura dan dari negara ini sendiri.

Pengamal Shorinji Kempo ketika menghadiri sesi Kajian Antarabangsa Shorinji Kempo di Kota Kinabalu.

“Visi saya selepas pandemik ini adalah untuk memberi penekanan kepada Shorinji Kempo agar kembali ke landasan seperti zaman kegemilangannya pada awal 80-an.

“Saya ingin melihat generasi akan datang terus mempromosikan seni ini serta membangunkan individu yang boleh menyumbang kepada negara dan masyarakat pada masa depan.

“Jadi saya berharap pelatih senior dan peserta akan terus mengabadikan diri dalam seni bela diri ini untuk legasi akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini pada Ahad.

David yang juga penerima anugerah tokoh Sukan Sabah 2018 berkata, seni mempertahankan diri sebenarnya adalah untuk membina nilai moral yang baik dan juga memberi manfaat dari segi kesihatan.

“Apa guna jadi pejuang terbaik dalam mana-mana pertandingan jika tidak dapat menyumbang kembali kepada masyarakat secara moral dan fizikal,” katanya.

Sehubungan itu, David memberi nasihat bahawa Shorinji Kempo tidak disalah guna sebaliknya digunakan untuk mempertahankan diri dari kejahatan.

“Selain itu ia adalah untuk membina kesihatan yang baik, nilai moral, dan yang paling penting menjadi produk yang baik untuk dimanfaat masyarakat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top