Pengguna harap kuota bahan api BUDI95 tidak dikurangkan

Pengguna harap kuota bahan api BUDI95 tidak dikurangkan


am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan diharap tidak mengurangkan kuota 200 liter RON95 di bawah Program Budi MADANI 95 (BUDI95) bagi mengelak beban tambahan kepada pengguna yang bergantung kepada subsidi bahan api berkenaan.

Tinjauan mendapati rata-rata orang ramai menyifatkan kadar sedia ada sudah mencukupi untuk kegunaan harian terutama bagi mereka yang bekerja jauh, berniaga serta menggunakan kenderaan secara kerap.

Pemandu p-hailing, Muhammad Akmal Harith Md Razi, 29, berkata, pengurangan kuota petrol itu akan menjejaskan pemandu sepenuh masa sepertinya yang menggunakan sepenuhnya kuota 200 liter sedia ada atau lebih daripada itu.

“Selepas kuota habis, kami perlu membeli petrol pada harga pasaran sekitar RM4.02 seliter, yang memberi kesan langsung kepada pendapatan kami,” katanya di sini, hari ini.

Bagi kontraktor kecil, Mohd Shahrullazhar Ya’cob, 43, sektor pekerjaan sepertinya antara yang akan menerima kesan sekiranya berlaku pengurangan kuota BUDI95 berkenaan dilaksanakan.

“Kontraktor kecil seperti kami memang akan terjejas kerana pekerjaan kami membabitkan penggunaan jentera berat, logistik penghantaran bahan binaan serta pergerakan tenaga kerja ke tapak projek.

“Kebanyakan jentera kami seperti lori RORO menggunakan diesel yang tiada subsidi, jika kuota 200 liter itu pula dikurangkan memang akan memberi kesan kepada kos operasi kami,” katanya berharap kerajaan menyediakan insentif bersasar kepada kontraktor tempatan.

Sementara itu suri rumah, Maisarah Md Nor, 45, berkata dia khuatir pengurangan kuota petrol itu akan memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup.

“Bila kuota dikurangkan pasti akan ada kesan ke atas rantaian bekalan di setiap peringkat dan akhirnya kos tersebut akan dipindahkan kepada pengguna. Ini boleh menyebabkan harga barang keperluan harian turut meningkat,” katanya.

BUDI95, mekanisme subsidi bersasar menetapkan kelayakan kuota bulanan 300 liter sebelum diselaraskan sementara kepada 200 liter berikutan krisis bekalan global akibat perang di Asia Barat, baru-baru ini.

Semalam, media melaporkan kelayakan kuota bulanan penggunaan RON95 di bawah program itu berpotensi dikurangkan kepada 150 liter sebulan bagi menjamin kelangsungan bekalan bahan api domestik.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menafikan sebarang pengumuman baharu berkaitan pengurangan kuota bulanan RON95 dan kenyataannya pada sebuah majlis telah disalah tafsir.

Katanya, apa yang dijelaskan beliau ialah BUDI95 adalah mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.

Keutamaan kerajaan dan seluruh masyarakat kini, katanya adalah untuk memastikan semua mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top