Kuala Lumpur: “Pengunjung konsert ibarat ‘tikus makmal’ bagi pihak tidak bertanggungjawab yang ingin menguji ‘bahan’ baru ini,” demikian pendedahan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.
Beliau mengulas mengenai insiden membabitkan kematian empat pengunjung konsert sempena Tahun Baru 2025 akibat dadah, baru-baru ini.
Katanya, pengunjung dinasihatkan berhati-hati sekiranya ditawarkan bahan mencurigakan kerana bahan-bahan ini mungkin adalah dadah sintetik atau “ramuan baru” yang diuji kaji tanpa pengetahuan mereka.
Beliau juga menekankan bahawa walaupun ratusan anggota polis melakukan pemeriksaan ketat dan menjalankan tugas dengan baik di lokasi, namun kemunculan pelbagai jenis dadah sintetik dalam bentuk jus, pil, kepingan kertas atau vape menyukarkan pengesanan.
“Hal ini menjadi lebih mencabar terutamanya di kawasan terbuka yang luas dan dipenuhi ramai pengunjung dan pastinya sukar dikawal.
“Kami menggesa beberapa cadangan antaranya pembabitan agensi berkaitan antaranya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), untuk memainkan peranan secara bersama seperti membuka booth pameran atau menjalankan kempen kesedaran di lokasi konsert.
“Selain mencadangkan penggunaan motto seperti “Muzik Tanpa Dadah” sebagai tagline wajib pada bahan promosi konsert seperti poster dan billboard, khususnya untuk mengingatkan golongan muda dan remaja,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.
Justeru, dia menegaskan hiburan haruslah dinikmati sepenuhnya melalui muzik, tanpa sebarang unsur terlarang seperti penyalahgunaan dadah dan mencadangkan agar garis panduan penganjuran terus diperkukuhkan.
“Kehilangan nyawa akibat penyalahgunaan dadah sewaktu menikmati muzik adalah satu perkara yang sangat menyedihkan.
“Ini juga menjejaskan industri konsert, yang menjadi punca rezeki dan ekosistem penting bagi penggiat muzik,” katanya.
Tambahnya lagi, insiden serupa pernah berlaku pada 2014 membabitkan festival muzik EDM, Future Music Festival Asia, yang mengorbankan enam nyawa, kebanyakannya remaja. Malah hasil bedah siasat ketika itu menunjukkan penglibatan dadah sintetik.
“Susulan insiden itu, beberapa dasar baharu digubal, termasuk penetapan bahawa konsert EDM hanya dibenarkan diadakan di premis tertutup untuk memudahkan kawalan.
“Namun, tragedi seperti ini berlaku lagi. Saya tidak pasti bagaimana perubahan syarat membenarkan konsert di lokasi terbuka, yang jelas lebih sukar dikawal,” katanya.
Karyawan juga menegaskan bahawa tiada genre muzik yang perlu dipersalahkan. Apa yang menjadikannya salah adalah penyalahgunaan dadah oleh segelintir individu.
Sebelum ini, media melaporkan, empat individu meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway.
Selain empat mangsa, terdapat tiga lagi mangsa lain dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud aktiviti penjualan dadah ketika penganjuran konsert di Bandar Sunway, Subang yang mengakibatkan empat individu meninggal dunia, baru-baru ini.
Hussein berkata, siasatan mendapati semua mangsa membeli dan menggunakan pil ekstasi dalam konsert berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd