am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kekurangan stok dan kos bahan api yang meningkat menyebabkan harga ikan dan sayur di pasar awam di sekitar ibu kota meningkat.
Rata-rata peniaga ditemui mengakui bahawa berlaku kekurangan stok ikan dan sayur berikutan peningkatan harga diesel yang kini mencecah harga RM6.02 seliter.
Peniaga ikan di Pasar Keramat, Kampung Datuk Keramat, Iman Azmi, 31, berkata terdapat kenaikan harga antara RM2 hingga RM3 sekilogram bagi beberapa jenis ikan.
“Harga ikan memang ada naik sedikit, RM2 hingga RM3 bergantung kepada jenis ikan. Kita tak boleh nak jangka sebab ikan sampai hari-hari, jadi harga jadi tak menentu.
“Setakat ini yang naik adalah ikan kembung, dulu kita ambil dari pembekal RM18 sekilogram, sekarang harga mencecah RM22, jadi kita terpaksa jual harga RM26 sekilogram,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya lagi, antara punca kenaikan harga ikan berikutan stok ikan yang berkurang, sejak peningkatan harga minyak diesel
“Sebab harga diesel naik, harga ikan pun naik, kos pengangkutan jadi lebih mahal sebab semua lori angkut ikan memang guna diesel,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga ikan, Zulfan Zainal Abidin, 42, juga berkata kenaikan harga diesel menyebabkan stok ikan berkurang kerana ramai nelayan tidak turun ke laut.
“Harga minyak yang sangat mahal menyebabkan ramai nelayan membuat keputusan untuk mengurangkan aktiviti turun ke laut.
“Ini menyebabkan stok ikan dari pembekal agak kurang, terutama sekali untuk ikan sardin dan ikan kembung,” katanya
Dalam pada itu, peniaga sayur, Ain Nur Azra Mohd Azam, 18, berkata cuaca panas dan kenaikan harga minyak menjejaskan bekalan serta kualiti sayur.
“Sayur biasanya dihantar menggunakan lori, jadi bila harga minyak naik, kos penghantaran pun meningkat. Kadang-kadang lori lambat sampai atau tak sampai langsung.
“Ada masa kami tak dapat bekalan untuk hari tertentu. Kalau ada pun, kualiti sayur tak cantik sebab terjejas akibat cuaca sekarang sangat panas, jadi kami tak boleh ambil stok untuk hari itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






