June 18, 2024

Penjaja makanan warga asing, KKM perketat pemantauan


Kuala Selangor: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengenal pasti modus operandi penjaja makanan warga asing di negara ini dan akan memperketat pemantauan bagi menangani aktiviti itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata justeru, pasukan penguatkuasaan KKM perlu lebih bertaktikal dalam melaksanakan tindakan membanteras penjualan produk yang diragui tahap kebersihannya oleh penjaja warga asing.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Parlimen Kuala Selangor di sini hari ini ketika diminta mengulas tindakan KKM berhubung video tular mengenai aktiviti jualan makanan ala ‘street food’ dari negara India yang dipercayai beroperasi berhampiran Masjid Al-Bukhary di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur dan ‘dikerumuni’ warga asing.

Penularan video berdurasi 23 saat itu mengundang reaksi kurang senang pengguna media sosial terhadap kelemahan sistem penguatkuasaan yang dilihat seolah-olah terlepas pandang aktiviti penjaja warga asing terbabit yang didakwa telah lama beroperasi.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) aktiviti luar bilik darjah yang dijalankan di sekolah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata insiden seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang meninggal dunia ketika menyertai aktiviti merentas desa di Negeri Sembilan pada 19 April lalu menuntut SOP lebih tuntas diwujudkan untuk dijadikan panduan oleh semua pihak pada masa akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top