Penjawat awam Pulau Pinang 'wajib' datang pejabat, tiada BDR!

Penjawat awam Pulau Pinang 'wajib' datang pejabat, tiada BDR!


Georgetown: Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang hari, memutuskan bahawa pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam negeri tidak akan dilaksanakan buat masa ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap keperluan operasi jabatan, tahap penyampaian perkhidmatan dan situasi semasa yang masih terkawal.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan dan keperluannya dari semasa ke semasa.

“Sekiranya terdapat perubahan yang memerlukan pendekatan lebih fleksibel termasuk pelaksanaan BDR, langkah sewajarnya akan dipertimbangkan demi memastikan keseimbangan antara kebajikan penjawat awam dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri komited untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas, di samping mengambil kira keperluan kebajikan warga kerja sektor awam secara keseluruhan,” katanya tadi,

Chow sebelum ini memaklumkan Pulau Pinang belum membuat keputusan untuk melaksanakan dasar BDR bagi penjawat awam negeri kerana perkara itu masih dalam peringkat mendapat maklum balas daripada semua jabatan berkaitan.

Pada 1 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar BDR membabitkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top