BEKAS Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed menegaskan bahawa dasar penswastaan kelab Liga Malaysia tidak seharusnya dianggap gagal.
Sebaliknya, isu sebenar terletak pada kelemahan pemantauan dan pelaksanaan selepas tanggungjawab itu diserahkan kepada pihak lain.
Firdaus yang pernah mempengerusikan Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional FAM pada 2018, berkata fasa pertama penswastaan telah berjalan lancar dan mencapai matlamat utamanya iaitu mengasingkan entiti persatuan bola sepak (FA) daripada kelab bola sepak profesional (FC).
“Saya diberi tempoh dua tahun oleh Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk memastikan pengasingan FA dilakukan sepenuhnya.
“Walaupun berdepan cabaran termasuk pandemik COVID-19, kita berjaya melaksanakan pengasingan secara total,” katanya.
Menurut beliau, selepas fasa pertama selesai, pelaksanaan seterusnya telah diserahkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dan beliau tidak lagi terlibat secara langsung.
“Fasa kedua bukan lagi di bawah kendalian saya. Maka saya tidak tahu bagaimana pemantauan dan pelaksanaan itu diteruskan oleh mereka yang diberi amanah,” ujarnya.
Firdaus menjelaskan, penswastaan diperkenalkan atas desakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mahu memastikan kelab-kelab Malaysia menepati piawaian kelab profesional untuk bersaing di peringkat Asia.
“Kalau dasar ini tidak dilaksanakan pada 2018, kita mungkin tidak akan melihat pasukan seperti JDT (Johro Darul Ta’zim), Selangor FC, KL City, Sabah FC dan Terengganu FC beraksi di peringkat Asia seperti sekarang. Kita sepatutnya berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa penswastaan menjadi punca kepada masalah kewangan pasukan, Firdaus menyangkal perkara itu.
Katanya, isu seperti tunggakan gaji sudah lama wujud sebelum pelaksanaan dasar tersebut.
“Masalah kewangan bukan perkara baharu. Sebelum Kelantan FC diambil alih oleh Zamsaham (Norizam Tukiman), KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) sudah pun menghadapi tunggakan gaji yang besar. Begitu juga PAFA (Persatuan Bolasepak Perak) yang hanya mampu menyelesaikan tunggakan selepas XOX mengambil alih.
“Isunya sekarang, selepas kelab-kelab ini menjadi entiti FC, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab membimbing dan memberikan hala tuju supaya penswastaan ini benar-benar berjaya?” soal beliau.