Penting rahmat ALLAH, bukan amal semata

Penting rahmat ALLAH, bukan amal semata


AMAL soleh sememangnya elemen penting dalam pembentukan keimanan seseorang.

Namun, dalam kerangka akidah Ahli Sunnah Waljamaah, keyakinan bahawa amal semata-mata boleh menjamin keselamatan akhirat adalah satu kesilapan halus, tetapi membahayakan perjalanan menuju reda ALLAH.

Hakikatnya, amal yang dilakukan manusia tidak menjamin syurga melainkan dengan rahmat ALLAH SWT. Sebenarnya, amalan manusia yang sedikit dan serba kekurangan tidak mampu ‘membeli’ syurga yang terlalu mahal dan tiada tandingan nilainya.

Ibnu ‘Ataillah dalam kitabnya al-Hikam menyatakan: “Antara tanda seseorang bergantung kepada amal adalah kurang harapan kepada ALLAH ketika berlakunya kegelinciran dosa.”

Oleh itu, manusia wajib meletakkan sepenuhnya harapan dan pergantungan hanya kepada ALLAH SWT.

Islam mengajarkan bahawa segala amal yang dilakukan oleh hamba adalah bentuk ketaatan dan ibadah, tetapi ia tidak menjadi sebab muktamad untuk mendapat syurga.

SEMOGA kita termasuk dalam kalangan hamba yang memperbaiki amal, tidak takjub dengannya dan sentiasa mengharap rahmat Ilahi. -Foto: CANVA

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Tidak ada seorang pun di antara kamu yang akan masuk syurga kerana amalannya semata-mata”. Para Sahabat bertanya: “Tidak juga engkau, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Tidak juga aku, kecuali jika ALLAH melimpahkan rahmat-NYA kepadaku.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menegaskan bahawa syurga adalah anugerah ALLAH, bukan hasil perniagaan antara amal dan balasan. Maka, amal soleh mesti disandarkan kepada keikhlasan dan keredaan ALLAH SWT, bukan sebagai ‘tiket’ jaminan automatik.

Amal sebagai ketukan, bukan tebusan

Sayidina Umar Al-Khattab RA yang dijanjikan syurga tetap hidup penuh tawaduk dan takut kepada ALLAH SWT.

Malah, beliau pernah berkata: “Sekiranya ada seruan dari langit mengatakan bahawa semua manusia masuk syurga kecuali seorang, aku bimbang akulah orang itu.”

Kenyataan itu menggambarkan keseimbangan antara rasa takut (khauf) dan harapan (ar-raja’). Golongan salafus soleh tidak pernah merasa aman dengan amal mereka, bahkan sentiasa berharap pada rahmat ALLAH SWT.

ISLAM mengajarkan bahawa segala amal yang dilakukan oleh hamba adalah bentuk ketaatan dan ibadah, tetapi ia tidak menjadi sebab muktamad untuk mendapat syurga. -Foto: CANVA

ISLAM mengajarkan bahawa segala amal yang dilakukan oleh hamba adalah bentuk ketaatan dan ibadah, tetapi ia tidak menjadi sebab muktamad untuk mendapat syurga. -Foto: CANVA

Imam Al-Ghazali menjelaskan, amal hanyalah satu bentuk permohonan (talab) terhadap rahmat ALLAH, bukan ‘harga’ untuk membeli syurga.

Dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum ad-Din, Imam Al-Ghazali berkata: “Amal itu hanya seperti mengetuk pintu. Jika ALLAH berkehendak, maka terbukalah pintu itu.”

Prinsip itu menegaskan bahawa ALLAH bersifat MAHA PENGASIH dan MAHA PEMBERI. Semua kurniaan-NYA adalah atas dasar kemurahan, bukan kewajipan terhadap makhluk-NYA.

Bergantung kepada ALLAH

Meskipun kita bergantung kepada ALLAH SWT, ia bukanlah alasan untuk kita tidak beramal. Mengertilah, tawakal yang sebenar adalah selepas usaha bersungguh-sungguh.

Firman ALLAH SWT: “Dan bertawakallah kepada ALLAH, cukuplah ALLAH sebagai tempat bergantung harap.” (Surah al-Ahzab: 3)

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jika kamu bertawakal kepada ALLAH dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu akan diberikan rezeki seperti burung, keluar pagi dalam keadaan lapar, pulang petang dalam keadaan kenyang.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

AMAL yang dilakukan manusia tidak menjamin syurga melainkan dengan rahmat ALLAH SWT. -Foto: CANVA

AMAL yang dilakukan manusia tidak menjamin syurga melainkan dengan rahmat ALLAH SWT. -Foto: CANVA

Melihat ungkapan hadis itu, burung tidak hanya menunggu makanan, tetapi tetap berusaha. Begitulah gambaran cara hidup orang beriman.

Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya ALLAH, janganlah ENGKAU serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Doa itu mengajar bahawa tanpa taufik dan hidayah ALLAH, manusia tidak mampu berbuat apa-apa. Maka, jangan sesekali berasa cukup dengan solat, puasa atau sedekah yang dilakukan. Semua itu perlu, tetapi jangan dijadikan tempat bergantung.

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali menegaskan: “Orang beriman sentiasa berada antara takut dan harap. Dia takut amalnya tidak diterima dan dia berharap agar ALLAH menerima serta merahmatinya.”

Ketahuilah bahawa orang beriman hidup antara rasa takut dan harap. Takut amalnya ditolak, tetapi tetap berharap penuh pada rahmat ALLAH yang MAHA LUAS.

Semoga kita termasuk dalam kalangan hamba yang memperbaiki amal, tidak takjub dengannya dan sentiasa mengharap rahmat Ilahi.

Sesungguhnya syurga itu milik ALLAH dan hanya dengan kasih-NYA kita akan sampai ke sana.

*Artikel ditulis oleh Prof Madya Dr Azri Bhari, Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)



Source link

OR

Scroll to Top