Penunggang motosikal patah tangan kiri langgar pintu kereta dibuka mengejut

Penunggang motosikal patah tangan kiri langgar pintu kereta dibuka mengejut

Penunggang motosikal patah tangan kiri langgar pintu kereta dibuka mengejut


harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal cedera patah tangan kiri susulan motosikal ditungganginya di Jalan Tun Razak hilang kawalan selepas melanggar pintu kereta yang dibuka secara tiba-tiba di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian berlaku sekitar 6.15 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Bulatan Kampung Pandan menghala ke KLCC.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penumpang belakang sebuah kereta jenis Honda City iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang dipangku oleh saudaranya telah dengan tidak sengaja membuka pintu belakang sebelah kiri.

“Mangsa berusia 25 tahun yang menunggang motosikal jenis Suzuki V-Strom SX sedang bergerak di antara lorong tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebuah lagi motosikal CFMOTO 675 NK yang berada di belakang turut terbabit kemalangan kerana tidak sempat mengelak mangsa yang hilang kawalan lalu melanggar kenderaan lain.

Katanya, penunggang motosikal kedua hanya mengalami cedera ringan manakala semua penumpang dan pemandu kereta yang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan kanak-kanak berkenaan yang membuka pintu secara mengejut, sehingga menghalang laluan penunggang motosikal.

“Dipercayai ciri kunci keselamatan kanak-kanak (child lock) tidak diaktifkan, membolehkan pintu dibuka dari bahagian dalam dan polis sedang meneliti rakaman video tular kejadian bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Menurutnya, keseluruhannya enam kenderaan terbabit dalam kemalangan itu termasuk sebuah Toyota Corolla Cross, Honda City, Volkswagen Polo, dan Perodua Bezza.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan tidak bertimbang rasa.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top