May 27, 2024

Penyelia maut jatuh kren dari ketinggian lebih 20 meter


BUTTERWORTH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung seorang penyelia kilang pembuatan maut ketika menjalankan penyelenggaraan di atas sebuah kren di tempat kerjanya di sini, semalam.

JKKP Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan, lelaki tempatan berusia 51 tahun itu terjatuh dari ketinggian lebih 20 meter dan siasatan dijalankan selepas menerima laporan berhubung kemalangan terbabit.

“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan penyelia bagi penyelenggaraan ladle crane di kilang terbabit.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan menyelia penyelenggaraan yang dilakukan pekerja kilang itu sebelum dilaporkan terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, notis pemberhentian serta merta ke atas kerja di kawasan kejadian kilang tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Kita juga telah mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP.

“Kita akan menjalankan siasatan susulan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti serta lawatan susulan ke premis majikan juga dilakukan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

“Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top