Penyeludup PATI di Kelantan kini banyak guna laluan laut


nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu : Polis Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tonto yang disifatkan makin membimbangkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, turut menyifatkan tindakan sindiket berkenaan melanggar dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu lalu juga adalah biadap dan tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, kegiatan penyeludupan PATI di Kelantan adalah serius dan taktik mereka kini banyak menggunakan laluan laut untuk membawa masuk PATI di negeri ini.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap sindiket penyeludupan ini termasuk tonto-tonto mereka yang bertindak agresif menghalang kenderaan pasukan penguat kuasa.

“Selain tindakan diambil mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), kita juga akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Aktiviti Riadah Bermotosikal dan Sumbangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) Sempena Sambutan Hari Polis dan Sambutan Ambang Kemerdekaan ke-69, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan kes penyeludup melanggar anggota penguat kuasa adalah terpencil.

“Namun saya nasihatkan anggota yang bertugas di lapangan termasuk PGA dan pasukan khas supaya sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Semalam media melaporkan, dua anggota Batalion 7 PGA cedera dilanggar kenderaan dipercayai dipandu tekong darat membawa muatan PATI ketika ia cuba mengelak pemeriksaan.

Kejadian berlaku jam 8.30 malam Sabtu lalu di Kampung Chat, di sini, ketika dua anggota berpangkat Lans Koperal sedang membuat rondaan sempena Ops Taring Wawasan Kelantan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top