July 23, 2024

Penyokong Kerajaan Perpaduan utamakan latar belakang akademik wakil rakyat

Penyokong Kerajaan Perpaduan utamakan latar belakang akademik wakil rakyat


KUALA LUMPUR – Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap semakin terasa apabila Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan calon masing-masing yang akan bertanding 6 Julai ini.

Walaupun masih belum tiba hari penamaan calon, namun kelihatan ramai pemain media sosial dan wakil parti mula berkempen memperkenalkan calon masing-masing.

Pemerhati politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, segelintir pihak khususnya penyokong Kerajaan Perpaduan kelihatan sangat menitikberatkan latar belakang pendidikan calon sejak PRK Kuala Kubu Bharu.

“Ia menyebabkan calon yang bertanding terpaksa mengemukakan sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sijil tamat pengajian di universiti.

“Hal ini menunjukkan bahawa latar belakang pendidikan menjadi keutamaan penyokong Kerajaan Perpaduan dalam memilih calon untuk menjadi wakil rakyat sekaligus menjadi pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, kini persoalan timbul mengenai latar belakang pendidikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Carian di internet hanya menjumpai beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu (Sastera) dari Universiti Malaya.

“Beliau merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pertama dalam sejarah hanya memiliki ijazah tersebut,” katanya.

Menurutnya, rakyat boleh mempersoalkan kredibiliti Anwar apabila bercakap soal ekonomi dan pengurusan wang negara kerana beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan berkaitan perkara tersebut.

“Berdasarkan hujah yang dilemparkan oleh penyokong PH terhadap calon-calon PN, maka ia menjadi masalah besar kepada negara jika dilantik seseorang tidak mempunyai latar pendidikan sebagaimana jawatan disandang ketika ini,” katanya.

Selain Anwar, kredibiliti Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan juga boleh dipersoalkan kerana beliau hanya memiliki ijazah kesenian.

“Pendidikan beliau tiada langsung mempunyai kaitan dengan kewangan. Begitu juga Datuk Seri Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang hanya memiliki Diploma Seni Kulinari.

“Ramai lagi pimpinan PH yang hanya mempunyai latar belakang biasa namun diterima menjadi pimpinan tertinggi parti mahupun menjawat jawatan dalam kerajaan.

Sehubungan itu, kata beliau, penyokong mahupun kepimpinan PH tidak boleh bersikap dwi standard dalam perkara ini dan hanya melihat kepada calon-calon baharu yang dipertandingkan dalam siri-siri PRK.

“Namun mereka perlu mengemukakan keseluruhan calon daripada parti mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan yang menyakinkan untuk mempersoalkan calon-calon daripada parti lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top