PENYOKONG-penyokong Manchester United meluahkan rasa tidak puas hati selepas kelab itu mengumumkan struktur baharu harga tiket perlawanan yang menyaksikan kenaikan mendadak sehingga £97 peningkatan ketara berbanding harga maksimum musim lalu iaitu £66.
Langkah ini diambil meskipun United menamatkan musim lalu dengan prestasi terburuk sejak 1973/74 apabila tersingkir ke divisyen bawahan dan menamatkan saingan di kedudukan ke-15 liga.
Buat pertama kali, kelab memperkenalkan sistem pengkategorian harga tiket melibatkan kira-kira 20,000 tempat duduk bagi setiap perlawanan.
Empat kategori diperkenalkan, namun kategori terendah hanya digunakan untuk beberapa perlawanan piala tertentu.
Bagi aksi Liga Perdana Inggeris, tiket termurah berharga £37 untuk dua perlawanan kategori C menentang Sunderland dan Wolves.
Sebaliknya, perlawanan berprofil tinggi seperti menentang Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Newcastle United dan Tottenham diletakkan dalam kategori A, dengan harga mencecah £97.
Pihak pengurusan kelab menjelaskan bahawa tiket berharga tertinggi itu hanya melibatkan kurang daripada satu peratus daripada jumlah keseluruhan tiket.
Sumber dalaman turut memaklumkan bahawa struktur harga baharu ini adalah lebih rendah berbanding cadangan asal setelah mengambil kira maklum balas penyokong.
Namun begitu, kenyataan tersebut dibidas oleh Manchester United Supporters Trust (MUST) yang menafikan sebarang bentuk perundingan berlaku.
Malah MUST menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan kelab yang didakwa mengenepikan suara penyokong.
“Selepas musim yang mengecewakan, kami menjangkakan kelab akan mempertimbangkan semula rancangan pengkategorian ini. Namun, apa yang berlaku sebaliknya kenaikan harga secara mendadak bagi penyokong yang membeli tiket secara perlawanan demi perlawanan.
“Ini merupakan satu tamparan hebat buat penyokong setia Manchester United,” kata kenyataan MUST.
Tambah entiti penyokong itu lagi, mereka telah mencadangkan agar sebahagian besar perlawanan dikekalkan pada kadar harga sedia ada, dengan hanya beberapa perlawanan berprofil tinggi dikenakan kadar tertinggi.
“Harga untuk perlawanan permintaan rendah pula wajar dikurangkan.
“Malangnya, tiada rundingan dilakukan bersama mana-mana badan wakil penyokong. Sekali lagi, kelab membuat keputusan yang bercanggah dengan kepentingan penyokong, dan pada hemat kami, juga bertentangan dengan kepentingan kelab secara keseluruhan,” tegas mereka.
MUST turut berpandangan bahawa pendekatan baharu ini akan memberi kesan buruk terhadap suasana di stadium, terutamanya dalam musim yang memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi daripada penyokong bagi membantu pasukan bangkit.
Pengendali United, Ruben Amorim, sebelum ini turut menyeru penyokong agar terus bersatu dan memberi sokongan teguh kepada pasukan dalam usaha membina semula kejayaan kelab.
Dalam satu temu bual bersama majalah United We Stand yang diterbitkan pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Omar Berrada, mengakui pelaksanaan harga tetap £66 musim lalu sebagai suatu keputusan yang kurang bijak.
Namun, beliau mempertahankan pengenalan sistem pengkategorian harga sebagai satu langkah lazim dalam Liga Perdana Inggeris, serta penting bagi membantu menyeimbangkan semula kewangan kelab.
Menurut portal Football Fancast, terdapat empat kelab yang mengenakan harga tiket tertinggi lebih mahal berbanding struktur baharu United musim ini, dengan Fulham mencatat harga tertinggi iaitu £160 bagi satu tiket.