PENYERANG skuad bola sepak negara, Romel Morales mengakui perasaan bercampur baur setelah membantu Malaysia meraih kejuaraan Pestabola Merdeka 2024.
Jaringan tunggal pemain berusia 27 tahun itu pada babak pertama membantu Harimau Malaya mengalahkan Lubnan 1-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Ahad.
“Sejujurnya agak menyedihkan kerana tindakan itu (boikot), namun kami tetap fokus dan kemenangan ini untuk penyokong,” katanya.
Menerusi kejayaan tersebut Malaysia berjaya mengakhiri penantian 11 tahun untuk merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka.
Kali terakhir gelaran itu diraih pada 2013 ketika skuad bawah 23 tahun negara menumpaskan Myanmar 2-0 dalam perlawanan akhir.
Morales menjelaskan kemenangan itu hasil kerja keras seluruh pasukan biarpun berdepan saat sukar termasuk ketiadaan sokongan Ultras Malaya di stadium.
“Saya bangga dan gembira dengan pasukan. Kami sememangnya layak untuk menang kerana sudah bekerja keras sejak hari pertama.
“Ini adalah hadiah kepada semua pihak terutama penyokong setia yang sentiasa bersama pasukan negara,” ujarnya.
Kemenangan ke atas pasukan ranking 116 dunia itu menjadi momen indah buat Pau Marti Vicente apabila meraih gelaran pertama selepas dua aksi membimbing Harimau Malaya.
Kejayaan itu sekali gus memadam kecewa edisi lalu setelah tumpas 0-2 kepada Tajikistan di pentas final yang mana ketika itu Pau Marti merupakan penolong kepada Kim Pan-gon.
OR