July 27, 2024

Pergaduhan antara kaum untungkan kelas atasan, miskinkan bawahan – Anwar

Pergaduhan antara kaum untungkan kelas atasan, miskinkan bawahan – Anwar


PUTRAJAYA – Pergaduhan antara kaum hanya menguntungkan kelas atasan dan memiskinkan golongan bawahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin masyarakat yang menimbulkan kebencian antara kaum itu hanya untuk mendapatkan undi dan kekayaan daripada rakyat.

“Kadang-kala kerana sebahagian kecil dalam kalangan pemimpin masyarakat India dia tak peduli ini semua

“Dia bangkitkan kebencian, orang India terhadap orang Melayu, kemudian ada kelompok Melayu bangkit kebencian orang Melayu terhadap orang Cina dan orang India.

“Siapa yang untung? Pemimpin-pemimpin boleh bercakap untuk melagakan pimpinan kaum dengan kaum lain.

“Yang untung mereka, untuk perolehi undi tambahan, untuk mendapatkan kekayaan, yang susah nanti rakyat.

“Sebab itu, pergaduhan antara kaum itu menguntungkan kelas atasan dan memiskin golongan bawah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Tabung Pendidikan, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) milik MIC, di sini, hari ini.

Perdana Menteri juga mengingatkan masyarakat berbilang kaum agar menolak sindrom kebencian dan isu perkauman yang ditimbulkan pihak tertentu.

“Harus bangkit dengan rakyat, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, untuk menyatakan kita tidak mahu bibit-bibit perkauman.

“Kita mahu semua kaum diangkat martabat menjadikan Malaysia ini negara gagah dan hebat lagi berjaya,” katanya.

Katanya, beliau boleh menerima jika kerajaan dikritik namun Perdana Menteri tidak boleh menerima Kerajaan Perpaduan dituduh sebagai menzalimi kaum tertentu.

“Memang saya tersinggung, ya tak sokong tak apa, kritik dasar, tak apa, tapi tidak tepat, tidak adil, tidak munasabah untuk hangatkan suasana ini dan mengatakan kita mengetepi, menganiaya dan menzalimi.

“Pembangkang Melayu kata kita zalim kepada Melayu, yang India kata kita zalim kepada India, politik apa ini saudara-saudara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top