Pelakon Emma Maembong tampil menjelaskan dia ke sebuah kelab malam di Sibu, Sarawak, baru-baru ini, bukan untuk berhibur tetapi untuk merakam sebuah video muzik.
Menerusi satu hantaran video di Insta Story, Emma berkata dia ke kelab malam berkenaan kerana mahu melihat teman baiknya DJ Kidd yang membuat persembahan.
BACA: Emma Maembong Bawa Teman Lelaki Jumpa Keluarga
“Saya tak fahamlah kenapa orang suka memberi reaksi berlebih-lebihan sampai nak kena ‘blurkan’ muka saya.
“Mudah saja, saya ke Sibu sebab nak rakam video muzik dan kebetulan DJ Kidd ‘spin’ di situ dan saya nak pergi tengok. Saya sendiri yang masuk kelab tanpa memakai pelitup muka atau topi sebab memang nak pergi tengok dia spin,” katanya.
Menurut Emma lagi, dia menyedari dirinya dirakam namun dia membiarkan sahaja. Katanya lagi, dia yang masuk ke tempat tersebut dengan gembira namun dijaga oleh pengawal.
“Bila orang rakam, saya yang lambai dengan mesra. Saya tahu ramai orang rakam dan biarkan benda itu terjadi. Jadi, bukannya saya menyorok di bawah meja, lainlah kalau wajah saya terkantoi kemudian tersebar.
“Biarkan dan tak perlu nak kaburkan muka serta beritahu siapa pelakon itu.Sedangkan saya sendiri yang masuk dengan gembira, ramai orang jaga saya. Orang-orang Sibu sangat ‘sporting’ dan mereka pun tidak ‘judgemental’ sangat,” katanya.






