July 23, 2024

Perjalanan Mbappe terhenti di separuh akhir

Perjalanan Mbappe terhenti di separuh akhir


Munich: Kapten Perancis, Kylian Mbappe berkata pasukannya “tidak cukup melakukan yang terbaik” ketika mereka tewas 1-2 dalam aksi separuh akhir kepada Sepanyol dan mengakui dia kecewa di Euro 2024 kali ini.

“Apa yang kami lakukan tidak cukup untuk ke final.

“Mereka (Sepanyol) bermain lebih baik daripada kami, mereka layak ke final dan kami akan pulang,” katanya dengan kecewa.

Mbappe mencipta gol pembukaan Randal Kolo Muani pada minit kesembilan, tetapi Sepanyol bangkit untuk mendahului dengan dua jaringan dalam masa empat minit pada pertengahan babak pertama.

“Saya mempunyai cita-cita untuk menjadi juara Eropah. Saya mempunyai matlamat untuk bermain dengan baik di Euro. Saya tidak mencapainya. Ia mengecewakan,” kata Mbappe.

Perancis hanya menjaringkan empat gol pada kejohanan itu, dengan satu-satunya jaringan Mbappe datang dari sepakan penalti.

Apa yang mereka capai kali ini di Euro berbeza dengan perjalanan Perancis ke final Piala Dunia di Qatar yang mana Mbappe menjaringkan lapan daripada 16 gol Les Bleus.

Mbappe mempunyai peluang lewat perlawanan untuk menyamakan kedudukan apabila dia memintas di bahagian sayap kiri dengan hanya penjaga gol Unai Simon untuk ditewaskan, tetapi percubaannya melepasi palang.

“Saya melepasi pertahanan dan ia berjalan lancar. Selepas itu, saya fikir saya hanya perlu menjaringkan gol atau sekurang-kurangnya mencapai sasaran.

“Ia melepasi palang. Itulah realiti pahit bola sepak. Kalah 1-2 dan kami akan pulang.”

Kapten Perancis itu bermain memakai topeng pelindung kerana hidungnya yang patah ketika perlawanan pembukaan menentang Austria, tetapi meninggalkannya untuk aksi separuh akhir dengan mengatakan dia “sudah muak.”

“Saya tidak dapat melihat dengan jelas dengan topeng itu. Saya berbincang dengan doktor untuk melihat jika saya boleh bermain tanpanya.

“Dia memberitahu saya untuk membuat keputusan seperti seorang lelaki. Dan begitulah, saya bermain tanpanya dan saya tidak menyesalinya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top