Perjuangan Malaysia terhenti di suku akhir

Perjuangan Malaysia terhenti di suku akhir


Usaha Jun Hao untuk meraih mata penyamaan gagal selepas tewas dalam dua set 6-21, 14-21 kepada Yu Qi. Foto BAM

PERJALANAN Malaysia dalam aksi Piala Sudirman 2025 berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada tuan rumah yang juga juara bertahan, China 0-3.

Dalam aksi di Xiamen, China itu, sandaran pertama negara yang diletakkan di bahu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk menghadiahkan mata sulung tidak kesampaian.

Beregu negara di ranking keempat dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan pasangan utama China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping apabila tewas 17-21,17-21 dalam tempoh 49 minit.

Kapten negara, Leong Jun Hao pula diturunkan dalam aksi perseorangan lelaki menentang pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi.

Usaha Jun Hao untuk meraih mata penyamaan gagal selepas tewas dalam dua set 6-21, 14-21, sekali gus meletakkan China selesa mendahului 2-0.

Harapan terakhir digalas pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa berdepan tugas sukar bertemu pemain ranking ketujuh dunia, Chen Yu Fei yang turut gagal mencipta kejutan apabila tunduk 8-21, 7-21.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir seperti dalam dua edisi terdahulu, masing-masing pada 2021 dan 2023 yang membawa pulang pingat gangsa.

Terdahulu, Malaysia muncul naib juara Kumpulan C selepas mencatat dua kemenangan menewaskan Perancis 5-0 dan Australia 4-1, sebelum tewas tipis 2-3 kepada Jepun dalam aksi terakhir kumpulan.



Source link

OR

Scroll to Top