Perkhidmatan KTM Komuter, ETS kembali pulih sejak malam tadi

Perkhidmatan KTM Komuter, ETS kembali pulih sejak malam tadi


mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Perkhidmatan tren KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) yang mengalami gangguan semalam akibat pokok tumbang, kembali pulih selepas kerja-kerja pembersihan pokok tumbang dan baik pulih alat talian atas, berjaya disiapkan pada 8 malam tadi.

Pembersihan dan baik pulih itu antara dua laluan iaitu Salak Selatan-Pelabuhan Klang (antara Mid Valley dan Abdullah Hukum) dan Simpang Batu (antara Sentul dan Segambut).

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, insiden pokok tumbang ini menyebabkan bekalan kuasa 25kV terganggu pada 4.24 petang semalam, sekali gus menjejaskan operasi tren di laluan terbabit.

Menurutnya, pasukan teknikal KTMB bertindak pantas dalam tempoh kurang 50 minit membolehkan tren KTM Komuter dan ETS beroperasi semula seperti biasa, walaupun masih terdapat sedikit reaksi kelewatan akibat kesan rantaian insiden tersebut.

“Beberapa perkhidmatan KTM Komuter masih mencatat kelewatan semasa, antaranya Tren No. 2159 di Stesen Subang Jaya – kelewatan 58 minit, Tren No. 2175 di Stesen Sungai Buloh – kelewatan 69 minit, Tren No. 2164 di Stesen Kepong – kelewatan 59 minit, Tren No. 2166 di Stesen Putra – kelewatan 49 minit dan Tren No. 2163 di Stesen Seri Setia – kelewatan 70 minit.

“Tren lain yang lewat adalah Tren No. 2167 di Stesen Pantai Dalam – kelewatan 54 minit, Tren No. 2049 di Stesen Kajang – kelewatan 50 minit, Tren No. 2055 di Stesen Bank Negara – kelewatan 32 minit, Tren No. 2052 di Stesen Seputeh – kelewatan 67 minit dan Tren No. 2051 di Stesen Salak Selatan – kelewatan 69 minit,” menurut kenyataan itu hari ini.

KTMB berkata perkhidmatan ETS juga beroperasi seperti biasa dengan kelewatan terkawal.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB untuk maklumat lanjut dan perkembangan semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top