Pernah hampir lemas di lautan, Tom tidak serik surfing

Pernah hampir lemas di lautan, Tom tidak serik surfing


Bagi sesetengah orang, laut sekadar destinasi untuk bercuti dan menikmati pemandangan. Namun bagi penyanyi, Tom lautan menjadi ruang untuk mencabar diri, mencari ketenangan dan mengeratkan hubungan bersama keluarga menerusi sukan meluncur ombak atau ‘surfing’.

Segalanya bermula secara tidak dirancang ketika negara dilanda pandemik Covid-19, Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram berkata, dia tertarik apabila melihat aksi peluncur ombak yang kelihatan begitu bergaya di atas papan luncur ketika menetap di Langkawi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu.

“Pada mulanya saya mahu cuba surfing sebab nampak macam ‘cool’ dan bergaya. Tapi bila sudah mula belajar, saya sedar keseronokannya bukan sebab mahu nampak bergaya semata-mata.

Kepuasan sebenar adalah apabila kita berjaya berdiri di atas papan luncur.

“Itulah yang buat saya terus jatuh cinta dengan sukan ini. Saya memang suka sukan yang melibatkan air. Jika berpeluh pun tidak terasa. Sekarang bukan saya saja minat, malah anak-anak juga.

“Selepas berkahwin dengan Fuad, saya ajak dia belajar surfing. Dia cepat belajar sebab memang pernah bermain skateboard. Dia lebih cepat mahir daripada saya,” katanya kepada Pancaindera.

Kata penyanyi yang berusia 40 tahun itu, dia sanggup berhabis duit untuk menyertai kelas meluncur demi menguasai teknik yang betul untuk mengawal keseimbangan tubuh badan ketika beraksi di laut

“Pada mulanya, saya beli papan luncur dan terus turun ke laut. Memang tidak menjadi. Rupa-rupanya kita perlu belajar asas terlebih dahulu.

“Selama dua minggu saya cuba belajar sendiri, tapi memang tidak berjaya. Selepas saya masuk kelas, barulah saya tahu papan yang saya beli tidak sesuai untuk orang yang baru belajar.

“Papan yang saya beli ketika itu adalah papan untuk orang yang sudah profesional. Selepas lama meluncur barulah saya boleh menggunakannya. Jadi, kalau hendak belajar, memang saya sarankan ambil kelas dahulu,” jelasnya.

Dalam masa sama, Tom mengakui sukan air itu mengajarnya erti kesabaran dan disiplin, selain memberi kepuasan terhadap dirinya setiap kali berjaya menakluk ombak ketika meluncur.

Ditanya sama ada dia pernah berdepan dengan sebarang kemalangan ketika beraksi di laut, penyanyi lagu Redha itu mengakui dirinya hampir lemas kerana tidak mahir berenang.

“Saya pernah hampir lemas. Ketika meluncur, semua orang fokus kepada ombak. Kadang-kadang mereka tidak sedar apa yang berlaku di belakang. Saya bukanlah pandai sangat berenang ketika mula belajar.

“Suatu hari di Langkawi, saya terjatuh daripada papan dan terkena ombak besar dan tidak boleh naik ke permukaan. Masa itulah saya berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan diri. Secara automatik saya terus boleh berenang sebab naluri untuk terus hidup.

“Di Malaysia pun lautannya ada risiko tersendiri berbanding luar negara. Saya pernah disengat obor-obor hingga masuk hospital. Dalam laut kita memang tidak nampak apa yang ada. Ada juga laut yang ada buaya,” kongsinya.

Tom bagaimanapun sempat meluahkan keterujaannya menantikan musim monsun bermula kerana rindu untuk kembali beraksi meluncur di lautan tempat kegemarannya seperti Pulau Kapas, Langkawi dan Cherating.

Tambahnya, dia kini memiliki enam papan luncur yang harga keseluruhannya mencecah puluhan ribu ringgit demi menjadikannya sebagai koleksi peribadi.

“Papan luncur yang panjang sahaja saya ada tiga buah dan harganya RM5,000 untuk sebuah papan. Saya juga ada papan luncur yang pendek yang harganya sekitar RM3,000 hingga RM4,000.

“Saya sarankan kepada mereka yang baru mahu menjinakkan diri dalam sukan ini, beli yang murah terlebih dahulu di mana-mana kedai sukan kerana harganya paling murah RM800.

“Meskipun papan yang saya beli itu mahal, jangka masa ketahanannya lebih lama. Malah, boleh mencecah sehingga 10 tahun. Pada saya, itu salah satu pelaburan berbaloi,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top