KUALA LUMPUR: “Sudah sampai waktunya ulama-ulama, pensyarah-pensyarah di bidang hadis tampil dalam masyarakat awam menapis secara terbuka hadis-hadis yang sudah banyak bertebaran dan diajarkan selama ini.”
Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Pembangunan Insan dan Penerangan Terengganu, Sabri Mamat berkata, tugas ulama adalah menjalankan amanah untuk mewariskan ilmunya kepada umat Islam.
“Kita melakukan proses islah dan sekarang kita pula bertanggungjawab memurnikan apa yang sudah ‘terhidang’. Proses ini bukanlah untuk merendahkan sisi keilmuan mereka. Proses ini amat perlu supaya keaslian hadis akan terus terpelihara.
“Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih. (Saya tidaklah) menafikan sumbangan ilmu mereka selama ini, tetapi semakin dibiarkan, semakin umat ini dibuai dalam fatamorgana.
“Fantasi yang tiada asal usulnya, melainkan rekaan semata-mata,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa tindakan pendakwah bebas menerima kecaman orang ramai sehingga pendakwah terbabit direhatkan daripada sebuah program rancangan televisyen.
Dakwaan pendakwah tersebut ditegur oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Rozaimi Ramle dan Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Hapiz Mahaiyadin kerana bersumberkan hadis palsu.
Sabri merujuk kepada kajian bertajuk, Hadis Palsu di Malaysia: Tinjauan Perkembangan dan Keberadaannya di dalam Kitab-Kitab Jawi Silam dan Buku-Buku Agama Terpilih.
Katanya, kajian tersebut dilakukan oleh Pengarang Penghubung UITM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang Johor, Mohd Shukri Mohd Senin yang diterbitkan dalam jurnal beliau yang berjudul, Journal of Contemporary Islamic Studies pada 2020.
“Jika diringkaskan data kajian beliau, ternyata beberapa kitab Melayu lama yang dikarang oleh ulama terkenal banyak mengandungi hadis palsu.
“Seperti kitab, Risalah fi Bayan hukm al-bai’ wa arriba tulisan oleh Syeikh Wan Abdul Wan Abdul Rahim Alfatani yang mengandungi tujuh hadis palsu, yang mewakili lapan peratus dari keseluruhan hadis di dalam kitab berkenaan.
“Selanjutnya, Sayr al salikin, karangan Syeikh Abdul Somad Alfalembangi. Kitab ini banyak diajarkan di pondok-pondok tempatan dan pengajian masyarakat awam di masjid-masjid. Namun hasil kajian mendapati 31 hadis palsu dan mewakili 27 peratus dari kesemua hadis dalam kitab berkenaan.
“Selain itu, ulama yang dapat julukan bapa kepada ulama nusantara, Syeikh Muhammad Daud Al-Fatani kitabnya buhgyah attullab mengandungi lapan hadis palsu, mewakili empat peratus dari kesemua hadis,” jelasnya.
Oleh demikian, Sabri berkata, hasil kajian ini merupakan satu penemuan yang perlu kita hargai, bukannya menidakkan, malah tidak mengecam di atas hasil kajian mereka yang telah melakukan proses ‘takhrij’ hadis.
“Bukan saya ingin mengatakan ulama di atas mereka hadis berkenaan. Hadis maudu’ bukannya cerita baru pada kurun ke-19, akan tetapi sudah beratus tahun lama sebelumnya,” terangnya lagi.
Beliau menyatakan, jika kajian seperti ini hanya terdiam di dalam jurnal akademik, tetapi masyarakat di luar tidak dapat pencerahan, amatlah sayang kerana tidak mendedahkan kepada orang ramai.
“Namun, jika ada pihak ingin mempertahankan hadis-hadis di dalam kitab berkenaan, maka buktikan dengan sanad, rantaian perawi, atau mungkin ada sandaran sanad yang lain untuk membuktikan bahawa hadis berkenaan tidak termasuk kategori hadis palsu.
“Dengan demikian kita berjaya hidupkan budaya akademik di dalam masyarakat. Tidak hanya menerimanya secara bulat-bulat,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024