SATU daripada sebab utama kenapa bumi Palestin perlu dipertahankan oleh umat Islam terutamanya daripada serangan dan penjajah negara haram Zionis Israel laknatullah pada ketika ini ialah ia merupakan lokasi untuk para Anbia yang pernah dilahirkan, dibesarkan dan disemadikan.
Mereka termasuklah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub, Nabi Syuib, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa dan lain-lain lagi.
Sejarah kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail sangat menarik untuk dihayati dan bagaimana kaitan kedua-duanya dengan Palestin dan Tanah Suci Makkah, serta air zam zam di Arab Saudi; merujuk kepada nukilan terbaharu Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Nik Abdullah.
Nabi Ismail merupakan anak kepada Nabi Ibrahim dan isteri keduanya, Hajar. Setelah berkahwin dengan isteri pertamanya, Sarah, Nabi Ibrahim tidak memperoleh anak dalam tempoh yang lama.
Raja kemudian memberi seorang hamba, Hajar kepada Nabi Ibrahim untuk dikahwini dan dengan izin Allah, Hajar mengandung sehingga melahirkan anak yang dinamakan sebagai Ismail.
Apabila memperoleh anak, isteri pertamanya, Sarah berasa cemburu. Setelah sekian lama tidak memperoleh anak, akhirnya ada anak, lagi-lagi anak lelaki.
Jadi, tumpuan Nabi Ibrahim lebih tertumpu kepada anak lelakinya. Sarah yang berasa cemburu melahirkan rasa tidak senang.
Justeru, tulis Nik Amar, Allah SWT kemudian memerintahkan kepada Nabi Ibrahim supaya membawa Hajar dan Ismail ke suatu tempat yang jauh.
Justeru, mereka yang asalnya tinggal di Palestin bergerak pergi ke suatu lembah iaitu di Makkah. Lembah itu dikelilingi oleh bukit. Pada zaman dahulu, kalau hujan lebat di Makkah, ia akan tenggelam.
Mereka pergi tanpa membawa apa-apa. Jarak antara Palestin dan Makkah adalah beratus-ratus batu (kilometer).
Setibanya di Makkah, Nabi Ibrahim membina kediaman untuk anak dan isterinya itu dan kemudian meninggalkan mereka tanpa bicara apa-apa.
Sehingga isterinya menegurnya, sebab apa pergi meninggalkannya. Nabi Ibrahim tidak dapat menjawab persoalan isterinya.
Sebenarnya, Nabi Ibrahim berasa sebak, tambahan pula nak meninggalkan anaknya yang masih kecil dan tempat itu pula sunyi daripada orang.
Pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak berkata apa-apa. setelah didesak, lalu Hajar bertanya, adakah ini merupakan perintah Allah?
Nabi Ibrahim mengiyakannya. Hajar berkata, kalau Allah yang suruh, insya-Allah selamatlah belaka. Inilah sifat orang yang beriman.
Sewaktu mahu meninggalkan mereka, Nabi Ibrahim berdoa dengan satu doa yang masyhur yang bermaksud:
“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku ini tinggal keturunanku di suatu lembah yang tiada apa-apa di sisi rumahMu yang haram. Wahai Tuhan kami, jadikanlah mereka tidak tinggal solat.”
Nabi Ibrahim meletakkan agama di hadapan. Bukan seperti kita yang pastinya akan berdoa agar selamat daripada dimakan oleh serigala. Kita ini fikirkan mengenai makan, minum dan keselamatan.
“Jadikanlah hati-hati manusia cenderung kepada mereka.”
Maknanya, orang yang melihat mereka akan berasa kasihan dan melihat dengan penuh kasih sayang serta tidak menganiayai mereka.
“Dan kurniakanlah mereka buah-buahan. Mudah-mudahan mereka bersyukur.”
Oleh sebab itu, bermacam-macam benda ada di Makkah walaupun tiada pokok. Kata ulama, inilah keberkatan doa Nabi Ibrahim. Segala jenis buah-buahan dan makanan ada belaka, sambung tulisan Nik Amar itu lagi.
Air yang dibawa sudah kehabisan. Tiada langsung air untuk diminum. Sehingga Hajar terpaksa berlari ke bukit Safa dan bukit Marwah dan meninggalkan anak kecilnya yang sedang menangis.
Tujuannya adalah untuk melihat sama ada terdapat kedatangan kabilah atau telaga atau tidak.
Oleh sebab itulah, kita diminta supaya bersaie antara Safa dan Marwah kerana mengambil apa yang telah dilakukannya, tulis Nik Amar.
Anaknya yang sedang menangis menghentak kakinya, namun secara tiba-tiba, air keluar dari tanah.
Hajar mula membuat batas sambil menyebut ‘zam zam’ sehingga membentuk lopak. Nabi kata, kalau Hajar tidak berbuat sedemikian, maka air zam zam tersebut akan menjadi sungai kerana air tidak berhenti daripada terus keluar.
Air itu untuk diminum, oleh itu benteng itu dibuat, kalau tidak, susah nak minum air yang mengalir di atas pasir.
Dari situlah, Makkah mula dikerumuni oleh ramai orang. Apabila ada air, orang akan berhenti, berkhemah dan menginap di sana.
Akhiri tulisan Nik Amar, lalu muncul keturunan Arab iaitu Arab Musta’arabah atau Arab yang diarabkan, dan oleh sebab itu, Nabi Ismail dianggap sebagai salah seorang Nabi daripada keturunan Arab. – HARAKAHDAILY 16/6/2024