Peruntukan RM2 Juta Bukti Komitmen Kerajaan Angkat Martabat Seni Pertahan Diri

Peruntukan RM2 Juta Bukti Komitmen Kerajaan Angkat Martabat Seni Pertahan Diri


Peruntukan RM2 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pembangunan dan pemerkasaan seni mempertahankan diri menterjemahkan kepercayaan dan komitmen berterusan kerajaan untuk mengangkat warisan bangsa yang bernilai tinggi.

Pertubuhan Lima Generasi Malaysia turut menyifatkan peruntukan itu sebagai sokongan strategik terhadap seni mempertahankan diri bukan sahaja dari sudut kebudayaan dan sukan, malah sebagai elemen pembinaan jati diri serta benteng pertahanan ketiga negara.

Pengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, Datuk Abdullah Ghani Kassim, berkata sebagai penerima amanah, pihaknya akan memastikan peruntukan berkenaan dimanfaatkan secara berfokus dan berimpak tinggi.

Ia merangkumi pembangunan atlet dan jurulatih, penambahbaikan kemudahan latihan, penganjuran kejohanan serta usaha memperluas promosi seni mempertahankan diri tempatan ke peringkat nasional dan antarabangsa, katanya.

DATUK ABDULLAH GHANI KASSIM

“Peruntukan ini menjadi pemangkin penting bagi membolehkan pelaksanaan program pembangunan dilakukan secara lebih tersusun dan profesional.

“Dana tersebut akan digunakan untuk menaik taraf prasarana latihan, menyediakan peralatan asas, memperluas kapasiti gelanggang serta memperkukuh laluan pembangunan atlet agar sasaran melahirkan pesilat dan atlet tempur bertaraf dunia dapat direalisasikan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan malam kelmarin yang merupakan manifestasi awal kepada pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Majlis itu adalah penganjuran sulung oleh Pertubuhan Lima Generasi Malaysia yang tercetus daripada Himpunan Pendekar sempena sambutan Hari Malaysia tahun lalu dan direalisasikan melalui sokongan dana khas Perdana Menteri.

Sementara itu, Abdullah Ghani berkata pihaknya turut menyambut baik penegasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berhubung usaha kerajaan untuk memperluaskan pengenalan seni persilatan dalam sistem pendidikan negara, termasuk menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.

“Langkah ini dilihat selari dengan matlamat jangka panjang untuk membina generasi muda yang berdisiplin, berjati diri dan menghargai warisan bangsa,” katanya.

Pelakon Ebby Yus menerima Anugerah Duta Silat

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Apresiasi Pendekar Negara turut menyaksikan penyampaian enam  kategori anugerah utama sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan besar penggiat seni mempertahankan diri negara.

Bagi Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih, enam pertubuhan menerima insentif RM70,000 setiap satu bagi tujuan pembangunan silat iaitu Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong, Pertubuhan Silat Pusaka Hanafi, Sendo Martial Art (Gayong Cikgu Sazali), Awang Daud Martial Art, Gayong Makrifat (Panglima Aduka) dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Fattani Antarabangsa (Dr Aziwahija Yeop).

Anugerah Jasa Silat pula dianugerahkan kepada lima tokoh yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa serta melahirkan juara silat bertaraf dunia iaitu Profesor Dr (Hc) Abd Ghapar @ Jebat Datuk Dr Raja Abd Majid, Tuan Guru Muhammad Wahab, Tuan Guru Ruzaidi (Wak Didi), Tuan Guru Shamsunputra Datuk Dr Raja Abd Majid dan Cikgu Al Jufferi Jamari.  Setiap penerima menerima insentif RM10,000.

Bagi kategori Anugerah Ikon Tempur Anak Muda, tiga atlet Muay Thai negara iaitu Johan Ghazali (Jojo Ghazali), Aliff Rakib dan Rifdean Masdoor menerima insentif RM10,000 setiap seorang atas kejayaan mereka di peringkat antarabangsa.

Atlet Muay Thai, Aliff Rakib menerima Anugerah Ikon Tempur Anak Muda

Anugerah Emas Sukan SEA pula diberikan kepada enam atlet negara yang menyumbang pingat emas melibatkan atlet silat iaitu Ummi Mashitah Hassan, Muhammad Izzul Irfan Marzuki dan Nursyafiqah Hamzah, serta atlet Muay Thai Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, Wassof Rumijam dan Angie Yan Jia Chi. Setiap atlet menerima insentif RM5,000.

Pengiktirafan kepada barisan jurulatih disampaikan menerusi Penghargaan Jurulatih Silat Negara kepada Mohd Fauzi Khalid, Siti Rahmah Nasir dan Nor Hamizah Abu Bakar, masing-masing menerima insentif RM5,000 atas komitmen dan pengorbanan mereka membangunkan atlet negara.

Bagi memperluas jangkauan seni persilatan dalam kalangan generasi muda, Anugerah Duta Silat turut dianugerahkan kepada Eman Manan, Ebby Yus dan Beto Kusyairi yang berperanan besar mempopularkan silat melalui medium seni dan budaya.  Setiap penerima menerima insentif RM10,000.

Majlis Apresiasi Pendekar Negara menandakan fasa pertama pelaksanaan inisiatif penghargaan dan pembangunan seni mempertahankan diri negara, dengan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia komited untuk terus bekerjasama rapat bersama kerajaan serta semua pemegang taruh demi memastikan kesinambungan warisan dan kecemerlangan seni tempur tanah air.






Source link

OR

Scroll to Top